1,086 PATI warga Myanmar dihantar pulang

Iklan
Kapal Tentera Laut Myanmar digunakan untuk menghantar Pati warga Myanmar pulang

PUTRAJAYA - Seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dihantar pulang dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, (TLDM) Lumut Perak pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, National Task Force (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar telah melaksanakan program penghantaran pulang itu.

Iklan
Iklan

"Semua PATI warga Myanmar tersebut telah ditahan dalam depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang itu merupakan PATI warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

Iklan

"Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak," katanya.

Menurutnya, program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen.

Iklan

"Proses pengusiran pada tahun lalu berjalan agak perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha mendapatkan persetujuan negara seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot Imigresen dalam jumlah yang besar.

"Imigresen mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM dan NTF dalam menjayakan program penghantaran pulang ini," katanya.