Perit cari penaja Liga-M

Iklan
Dari kiri: AMAR PRITPAL, NOKMAN MUSTAFFA dan JOHAN KAMAL

TIRAI Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bakal dibuka secara rasmi pada 5 Mac ini tetapi masih ada kedengaran beberapa pasukan yang dihimpit masalah kewangan akibat kekurangan tajaan.

Situasi itu berlaku ekoran krisis ketidaktentuan pandemik Covid-19 sehingga dikhabarkan ada penaja yang menarik diri pada saat akhir kerana tidak mahu menanggung risiko lebih besar.

Iklan
Iklan

Difahamkan, ada beberapa pasukan yang semakin merasai bahang ‘keperitan’ dalam mengharungi saingan Liga-M musim ini gara-gara kantung mereka tidak sepertimana yang diharapkan.

Ketika diminta mengulas senario yang berlaku, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa tidak menafikan pihaknya turut berdepan dengan nasib sama.

Iklan

"Saya harus akui inilah masalah yang perlu kami lalui apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Masalah mencari penaja ini lebih dirasai pada musim Covid-19 sekarang.

"KLFA tak macam (persatuan) negeri lain yang kebanyakan presiden mereka adalah menteri besar atau ketua menteri. KLFA memang berbeza, cuma kami sebelum ini dibantu pihak Menteri Wilayah Persekutuan.

Iklan

"Pada masa sama, kami tetap mencari penaja. Kami tahu ramai pihak yang mahu menjadi penaja tetapi sudah pasti mereka mengambil pendekatan berhati-hati dalam keadaan negara masih dilanda Covid-19.

"Jadi sebagai penaja, mereka tentunya mahukan jaminan yang mampu memberi pulangan. Dalam situasi sekarang, baik pihak kelab mahupun penaja, masing-masing berada dalam keadaan tersepit,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon pula berkata, beliau mengakui penangan Covid-19 memberi kesukaran kepada kebanyakan pasukan untuk mendapatkan tajaan seperti kebiasaannya.

"Tahun ini memang agak mencabar sebab Covid-19, situasi ini agak berbeza ketika kami membuat persiapan pada musim-musim terdahulu. Saya percaya bukan saja Selangor tetapi pasukan lain turut mengalami masalah sama.

"Tetapi kami tetap akan berusaha untuk mendapatkan penajaan dan perkara itu akan berterusan. Walaupun ada (penaja) yang nak masuk (menyalurkan tajaan) pada pertengahan musim, kami tak ada halangan.

"Setakat ini alhamdulillah, kami sudah ada penaja, tetapi kami memang perlukan (tajaan) lagi. Kami juga mahu melihat bagaimana pula dari segi penjualan tiket, jersi kerana sekiranya semua perkara itu tidak terjejas, ia (dana) kami mencukupi sehingga hujung tahun,” jelasnya.

Koordinator Penang FC, Dr Amar Pritpal Abdullah pula berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk mendapatkan penaja bagi menampung kos keseluruhan skuad Harimau Kumbang.

"Sekarang memang agak susah untuk dapat penaja. Penaja yang ada pun yang kecil-kecil sahaja. Sebab itu Penang FC dimasukkan dalam Perbadanan Ketua Menteri (CMI), jadi kami tidak risau sangat mengenai tajaan ini,” ujarnya.