Ketirisan gagalkan perancangan kerajaan

Iklan
Ahmad Amzad Hashim

KUALA TERENGGANU - Dasar dan perancangan kerajaan yang baik dalam usaha memajukan negara tidak akan berjaya sekiranya berlaku ketirisan di peringkat pelaksanaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, perbuatan itu itu bukan sahaja merugikan rakyat, malah turut menjadi penghalang kepada pembangunan sesebuah negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ketirisan itu termasuk penyelewengan dan amalan rasuah yang perlu dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi agar ia tidak terus menjadi ‘duri dalam daging’ dalam kehidupan, sekali gus merosakkan masyarakat dan generasi akan datang.

"Disebabkan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memberikan komitmen dalam membanteras rasuah di semua peringkat pelaksanaan.

Iklan

"Ia termasuk pendirian kerajaan yang tidak akan campur tangan apabila melibatkan kes rasuah dengan memberikan sepenuh keyakinan kepada agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

"Begitu juga di peringkat kehakiman, tiada gangguan dan campur tangan daripada pihak kepimpinan agar proses perundangan dan keadilan boleh berjalan secara telus,” katanya.

Iklan

Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, rasuah mempunyai kaitan rapat dengan penghayatan agama bagi setiap individu.

Menurutnya, pegangan agama merupakan elemen penting yang mempengaruhi seseorang itu untuk mempunyai kawalan diri yang baik serta mampu menghayati ajaran agamanya.

"Bagi orang Islam, kita tahu dan percaya bahawa walaupun di sekeliling kita mungkin tidak ada mata yang melihat dan tidak ada telinga yang mendengar, tetapi ALLAH ada melihat dan mendengar.

"Jika kita tahu dan beringat, sudah tentu kita akan takut untuk mengamalkan rasuah kerana sedar akan azab dan pembalasan yang akan diterima,” katanya.