Kurang perhatian punca wanita, mahasiswi terjebak dengan ‘sugar baby’

Iklan
Faris Akmal Faizal

SHAH ALAM - Selain masalah kewangan dan desakan hidup, kurang kasih sayang serta perhatian turut menjadi punca sesetengah wanita mahupun mahasiswi sanggup menggadaikan maruah dengan menjadi ‘sugar baby’ kepada ‘sugar daddy’.

Aktivis Malaysians Against Pornography (MAP), Faris Akmal Faizal berkata, masing-masing mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa mereka terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu.

Iklan
Iklan

"Ada di antara mereka yang sudahpun kaya-raya, namun terpaksa menggunakan platform berkenaan untuk mencari seseorang yang boleh memberikan kasih sayang dan juga perhatian.

"Jadi, ini sebenarnya bukan sahaja isu duit tetapi kurang kasih sayang dan perhatian daripada keluarga. Mereka sering diabaikan oleh ibu bapa sehingga memberi kesan negatif dari sudut emosi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran Siri ke-92 bertajuk Sugar Baby: Terdesak atau Nak Mewah yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Dari kiri: Fazrul, Faris, Mohd Sukki dan Ahmad Tarmizi pada program Wacana al-Quran Siri 92 bertajuk Sugar Baby: Terdesak atau Nak Mewah yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Turut menjadi panelis program, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman@Ustaz Shauqi, sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Maidah ayat 5 dan juga surah al-Nisa’ ayat 25.

Iklan

Faris berkata, ada juga di antara mereka yang terlibat dengan ‘sugar baby’ kerana ingin mengikuti tren terkini.

Menurutnya, ia berikutan apabila melihat kawan-kawan mereka hidup dengan penuh mewah dan bergaya.

"Justeru, dengan hanya menawarkan diri kepada ‘sugar daddy’, mereka peroleh apa yang mereka mahukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, watak ‘sugar baby’ itu sebenarnya sudah lama wujud.

Menurutnya, apa-apa pun istilah yang digunakan kepada golongan ini, ia merujuk kepada aktiviti sama iaitu menawarkan perkhidmatan sebagai teman sosial kemudian mendapat habuan seperti wang ringgit.

"Sebelum wujudnya aplikasi seperti Sugarbook, ia dipanggil ‘call girl’ kerana waktu ini masih belum ada aplikasi yang sistematik.

"Namun, aktiviti ini tetap sama yang mana ramai anak muda khususnya yang menetap di kolej ataupun universiti menjadi ‘sugar baby’,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, ibu bapa harus memainkan peranan dengan memberikan didikan terbaik kepada anak-anak supaya mereka mampu melindungi kehormatan diri dan tidak mudah mengikut hawa nafsu walaupun berada dalam kesempitan serta kesulitan hidup.