KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan menahan seorang lelaki bersama 156 bungkusan air ketum hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Bukit Goh di sini pada Selasa.
Susulan penahanan suspek berusia 38 tahun itu, turut dirampas 10 kilogram daun ketum yang belum diproses dan beberapa peralatan yang digunakan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,284.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Mohammad Said berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas rumah berkenaan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti pengedaran dan pemprosesan air ketum di kawasan tersebut.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 11.40 pagi itu, pihaknya menemui sebuah tong di dalam rumah tersebut dan hasil pemeriksaan menemui bungkusan cecair disyaki air ketum.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan daun ketum dan peralatan memproses yang disorokkan di belakang rumah tersebut," katanya.
Norzaid berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952.
"PPM Wilayah Tiga mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyeludupan ke talian 09-5137726," katanya.