ALOR GAJAH - Seorang warga emas maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di simpang Jalan Lendu depan Taman Intekma, di sini petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, mangsa, Johari Kassim, 67, yang menunggang motosikal EX5 ketika keluar dari simpang Taman Intekma dan membelok ke arah Lendu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal Yamaha YZF-R25 yang ditunggangi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh belakang motosikal mangsa.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah kira-kira jam10.20 malam.
"Bagaimanapun penunggang berusia 26 tahun hanya mengalami luka-luka di muka dan dirawat di zon kuning hospital sama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Rawatan Forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.