PdPR: Ibu bapa jadi 'bidan terjun' demi pendidikan anak

Iklan
Zennenia Marcus, 33, seorang jururawat di sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Tuaran membimbing dua anaknya.- Foto Bernama

KOTA KINABALU -"Pagi hingga petang saya bertugas sebagai jururawat, malam saya menjadi cikgu,” spontan Zennenia Marcus, 33, menjawab pertanyaan penulis mengenai cara beliau membahagikan masa antara kerjaya hakiki dan peranan sebagai ibu dalam memantau pembelajaran dua anaknya pada masa kini.

Meskipun menjawabnya secara berseloroh, namun itulah hakikat terpaksa ditempuhi Zennenia, seorang jururawat di sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari sini, sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sejak 20 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Intonasinya santai dan tenang tanpa sebarang amarah membuatkan penulis ingin mengetahui apa pendekatannya untuk memastikan sesi PdPR kedua-dua anaknya berumur tujuh dan lapan tahun, yang bersekolah rendah di Tahun Satu dan Dua itu berjalan seperti biasa walaupun peralatan pendidikan digital boleh dikatakan tidak cukup.

Sama seperti murid lain di Sabah, kedua-dua adik beradik itu juga berkongsi satu peranti elektronik iaitu telefon bimbit ibu mereka yang sering dibawa ke tempat kerja, selain liputan internet tidak begitu stabil kerana adakalanya tersekat-sekat.

Iklan

Begitupun, Zennenia tidak menafikan pada awal PdPR dijalankan perasaannya bercampur baur antara penat, kusut serta bingung bagi menyeimbangkan antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab membimbing pembelajaran anak kerana kedua-duanya adalah amanah penting untuk dijaga.

Bidan terjun

Iklan

Mungkin kemahirannya dalam bidang kejururawatan kebidanan tidak boleh disangkal lagi, tetapi, kali ini beliau terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ pula sebagai ‘guru’ untuk kedua-dua anaknya itu sejak Mac tahun lepas setelah sekolah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tanpa sebarang teknik khusus mengendalikan sesi PdPR, beliau tetap berusaha memberi kefahaman kepada anaknya mengenai sesuatu tugasan mata pelajaran diberikan guru menggunakan pendekatan atau cara beliau belajar dahulu.

"Memang ada kekurangan kerana metod pengajaran dan pembelajaran sekarang sudah banyak berubah berbanding dahulu, tetapi itu bukan penghalang buat saya untuk laksanakan tanggungjawab, selain itu saya juga tidak mahu terlalu merungut mahupun mengeluh dengan situasi pendidikan sekarang," katanya.

Zennenia juga mengambil langkah yang dianggapnya sebagai elemen penting dalam menjayakan sesi PdPR kedua-dua anaknya iaitu menyusun masa dan membuat jadual belajar mereka sendiri.

Matlamatnya untuk memastikan semua kerja sekolah disiapkan dan dihantar, meskipun bukan pada waktu ditetapkan kerana kekangan pemilikan peranti elektronik, selain mahu anaknya terus berdisiplin, bermotivasi dan punya rasa tanggungjawab terhadap pelajaran.

"Walaupun tiada peranti elektronik khusus untuk mereka, tetapi saya tidak mahu ia satu alasan untuk mereka tidak fokus dan hilang motivasi belajar. Saya berusaha mewujudkan suasana persekolahan seperti biasa di rumah kerana saya mahu mereka terus minat belajar. Saya tidak mahu mereka leka sehingga tercicir atau ketinggalan pelajaran,” katanya.

Pada sebelah malam, beliau memperuntukkan masa dua jam untuk anaknya mengulang kaji pelajaran termasuk membimbing mereka menyiapkan kerja sekolah.

Sabtu adalah hari rehat dan santai untuk kedua-dua anaknya, manakala Ahad, Zennenia memulakan ‘kelas’ mereka seawal 9-11 pagi dan kemudian dari 2-4 petang.

Zennenia turut mengambil inisiatif membeli papan putih beserta ‘marker pen’ dengan harapan anaknya dapat sama-sama belajar dan menyiapkan tugasan.

Beliau akan menulis tugasan sekolah seorang anaknya di papan putih itu manakala seorang lagi menggunakan telefon bimbit, dan untuk lebih adil, Zennenia membuat penggiliran bagi mengelak ‘perbalahan’ kecil antara kedua-duanya.

Beliau turut memperbaharui langganan data mudah alih daripada 25GB kepada 50GB bagi memudahkan anaknya mengakses internet, walaupun jelas akan menambah komitmen perbelanjaan bulanan.

Tolak ansur

"Ya, memang penat. Tapi saya perlu bertolak ansur dan memberi kerjasama kepada guru demi masa depan anak saya sendiri. Saya pasti tiada siapa yang mahu berada dalam situasi sekarang dan kalau diikutkan mahu saja menghantar anak ke sekolah seperti biasa. Tetapi, keadaan belum mengizinkan,” katanya.

Zennenia berkata, setakat ini, guru-guru sekolah anaknya memahami kondisi serta kekangan ibu bapa dan murid dalam menjayakan PdPR walaupun tugasan dihantar lewat iaitu pada waktu malam.

PdPR sekali lagi menjadi topik hangat dibahas dan diperdebatkan oleh rakyat Malaysia termasuk di Sabah apabila kaedah itu, yang sememangnya memberi cabaran besar kepada sektor pendidikan negara sejak tahun lepas, terpaksa dilakukan lagi pada tahun ini.

Sistem pendidikan konvensional iaitu pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat diadakan buat masa ini susulan pandemik Covid-19 yang dilihat seperti belum membolehkan sesi persekolahan dibuka seperti biasa.

Selain dalam talian, PdPR turut dilaksanakan secara luar talian dan kaedah off-site, dengan para guru menyediakan modul atau pendidikan berasaskan projek sekali gus memerlukan kerjasama ibu bapa untuk memberi bimbingan.

Pengorbanan

Ibarat kata pepatah"sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”, kata Khairunnisa Islami Ambotola, 35, pensyarah kejuruteraan awam di sebuah institut pendidikan tinggi di sini.

Beliau juga sudah bersedia lebih awal untuk membimbing dan memudahcara PdPR anak perempuan sulungnya yang baharu sahaja melangkahkan kaki ke Tahun 1 pada tahun ini kerana ia bukan perkara baharu buat mereka.

"Sebelum ini, saya mengikuti perkembangan PdPR anak saya ketika dia masih di Tadika tahun lepas. Cuma tahun lepas, pembelajarannya lebih santai dan ‘enjoy’ sesuai pendekatan pendidikan awal kanak-kanak, berbanding tahun ini dia belajar lebih banyak mata pelajaran,” katanya.

Khairunnisa berkata, kelonggaran bekerja dari rumah diberikan kepada setiap kakitangan sedikit sebanyak memudahkan beliau membahagikan masa antara kerjaya dan peranan memantau PdPR anaknya mengikut jadual ditetapkan sekolah dari pagi hingga ke tengah hari, dan setelah selesai, gilirannya pula membereskan tugas hakikinya yang turut melibatkan dunia pendidikan.

Beliau dan suaminya juga sepakat bergilir-gilir ke pejabat atau bekerja dari rumah supaya mereka dapat sama-sama menggalas tanggungjawab itu.

Pengorbanan semua pihak dari segi masa atau wang ringgit juga adalah perlu dalam mendepani fasa perubahan pendidikan ketika ini sebelum titik penyelesaian bersifat menang-menang dicapai, katanya.

"Kita perlu masa menyesuaikan diri dengan suasana baharu ini. Walaupun mungkin secara perlahan-lahan tetapi saya yakin lama kelamaan kita akan terbiasa,” katanya.

Kerjasama luar biasa

Bagi Nurarizan Nanta, 34, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew, Sandakan pula berkata, selain mengendalikan PdPR dalam talian kepada pelajarnya, beliau juga perlu menumpukan perhatian kepada anak perempuan sulungnya yang baharu masuk Tahun 1.

"Memang ada cabaran untuk membahagikan masa antara kerjaya hakiki dan peranan sebagai ibu membimbing anak mengikuti PdPR. Namun, saya telah mempersiapkan emosi, mental dan fizikal bagi memastikan perhatian saya untuk kedua-duanya seiring,” katanya.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris dan Sejarah di Sekolah Kebangsaan Sapagaya di Kinabatangan, Mohd Firdaus Sultan, 35, berkata, komitmen dan kerjasama antara guru dan ibu bapa sangat penting dalam menjayakan PdPR.

Penglibatan ibu bapa dalam sesi PdPR juga membolehkan mereka mengetahui perkembangan kognitif anak termasuk kesungguhan dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus yang mengajar di sebuah sekolah rendah dalam ladang itu berkata, kerjasama diberikan ibu bapa pada tahun ini cukup luar biasa dan bertambah baik berbanding tahun sebelumnya kerana mereka dilihat sudah bersedia serta boleh menerima keadaan norma baharu pendidikan.

Ada juga ibu bapa di luar bandar khususnya dalam kalangan B40 mengumpul duit bagi menyediakan kemudahan peranti elektronik untuk anak mengikuti PdPR, katanya.

"Ibu bapa juga berdepan banyak bebanan kerana selain terpaksa keluar mencari rezeki untuk keluarga, mereka perlu memberi tumpuan kepada pembelajaran anak. Justeru, kita perlu saling memahami. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Saya yakin PdPR akan berjaya jika ada kerjasama kuat antara ibu bapa dan guru,” katanya. - Bernama