[DIKEMASKINI] 15 direman libat kes pelacuran melalui Michat

Iklan
Antara individu yang ditahan reman di Mahkamah Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seramai 15 individu termasuk seorang bapa ayam ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi Michat di sebuah rumah banglo dua tingkat di Kubang Kerian di sini pada Selasa.

Kesemua suspek berusia antara 22 sehingga 60 tahun ditahan dalam serbuan Operasi Noda pada jam 3.45 petang.

Iklan
Iklan

Turut ditemui pada serbuan itu ialah sekotak kondom termasuk dua kondom yang sudah digunakan, minyak urut serta wang tunai berjumlah RM1,917.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Cawangan D7 Kontinjen Kelantan melakukan serbuan hasil maklumat awam dan risikan.

Iklan

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki termasuk seorang warga Myanmar dan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan urusan aktiviti pelacuran.

"Lelaki itu dipercayai berperanan sebagai perantara yang menguruskan untuk mendapatkan pelanggan menerusi aplikasi Michat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, turut dirampas ialah satu buku log yang mengandungi catitan sewaan bilik, lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama dan kunci bilik.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari berkuat kuasa pada Rabu sehingga Selasa depan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Rusli Ahmad di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pagi Rabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan kerana hidup hasil perdagangkan persundalan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.

"Seksyen 372A boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dengan sebat dan denda, manakala Seksyen 372B membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu boleh menghubungi Hotline Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999.