MELAKA - Melaka akan memulakan proses suntikan vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan membabitkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat bermula 2 Mac depan.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua tiga hospital dan klinik kesihatan di negeri ini akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menurutnya. bagi fasa pertama suntikan membabitkan petugas barisan hadapan bermula pada 2 Mac namun pada 26 Februari vaksin diberi kepada vaksinator atau orang yang akan memberi vaksin bagi fasa pertama.
"Ini merupakan hari bersejarah kita di Melaka apabila menerima vaksin pertama Covid-19," katanya ketika sidang akhbar di luar perkarangan Hospital Melaka selepas menyambut ketibaan vaksin di sini, pada Rabu.
Sebanyak 8,190 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa sebuah van syarikat logistik, DHL Ekpress selamat tiba di Hospital Melaka pada jam 11.55 pagi, Rabu.
Perjalanan bekalan vaksin itu bermula dari Subang, Selangor kira-kira jam 10 pagi dan melalui Lebuh Raya Utara Selatan sebelum keluar di susur Plaza Tol Ayer Keroh pada jam 11.45 pagi.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pada fasa pertama ini sebanyak 8,190 dos vaksin selamat tiba dan sejumlah 2,810 lagi dos vaksin akan dihantar ke Melaka dalam masa dua hari lagi sekali gus melengkapkan jumlah 11,000 dos vaksin pada fasa pertama.
Menurutnya, bagi fasa kedua vaksin dijangka akan bermula pada Mei hingga Ogos depan membabitkan 250,000 pesakit kronik dan warga emas.
"Fasa ketiga melibatkan 400,000 individu berusia 18 tahun ke atas dijangka bermula September hingga Februari 2022 dan kita menyeru orang ramai agar secara sukarela menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha memutuskan pandemik virus ini di negara ini," katanya.
Jelasnya, orang ramai boleh mendaftar melalui MySejahtera atau menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876.