37 klinik kesihatan di Negeri Sembilan jadi PPV

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Sebanyak 37 klinik kesihatan di seluruh Negeri Sembilan akan dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 bermula Khamis.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, petugas barisan hadapan daripada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini akan menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Iklan
Iklan

"Mengenai berapa jumlah petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin pada Khamis, saya belum ada maklumat lagi.

"Suntikan vaksin itu antaranya melibatkan doktor, jururawat, polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Iklan

"Saya berharap semua masyarakat bersetuju untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama ini kerana ia penting untuk kesihatan dan mencegah penularan Covid-19," katanya selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti 16 dewan yang akan digunakan sebagai pusat vaksinasi di bawah fasa dua dan tiga suntikan vaksin Covid-19.

Iklan

"Bagaimanapun, kita akan mengenal pasti lagi dewan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut di setiap daerah," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya akan mewujudkan bilik gerakan di setiap daerah yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek bagi bertujuan memantau operasi suntikan vaksin.

Pada pagi Rabu, vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selamat tiba di Negeri Sembilan.

Tinjauan Sinar Harian, mendapati sebuah van syarikat logistik DHL tiba di Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini kira-kira jam 11.23 pagi dengan diiringi konvoi pasukan keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sebanyak 60 peratus daripada semua pekerja kilang di negeri ini telah menjalani ujian saringan Covid-19.

"Kebanyakan kes Covid-19 masih dikesan di sektor perindustrian yang melibatkan pekerja tempatan dan pekerja asing, namun dengan adanya ujian saringan ini dapat mencegah penyebaran Covid-19 dalam kalangan masyarakat," katanya.