Polis didakwa subahat dengan isteri tuntut gaji palsu

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas 25 pertuduhan bersubahat berhubung tuntutan gaji palsu membabitkan nilai lebih RM263,000.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 25 pertuduhan bersubahat dengan seorang bekas eksekutif sumber manusia sebuah syarikat berhubung tuntutan gaji palsu membabitkan nilai lebih RM263,000 sejak tiga tahun lalu.

Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohd Iqbal telah bersubahat dengan isterinya yang masih bebas, Siti Aisyah Mohamad Amir, 31, yang merupakan eksekutif sumber manusia di Hovid Berhad dengan mengemukakan satu dokumen bank mengandungi butiran matan palsu dengan memasukkan akaun nombor atas nama tertuduh bagi menuntut gaji sehingga RM10,000 sedangkan tertuduh bukan pekerja syarikat berkenaan.

Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Hovid Berhad dalam daerah Kinta pada waktu dan tarikh berbeza selama 25 bulan sejak 31 Mei 2018 sehingga 30 Jun 2020 melibatkan tuntutan keseluruhan berjumlah RM263,810.85.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin memohon kepada mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana bimbang akan melarikan diri, tambahan isteri tertuduh ketika ini masih bebas dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya.

Tertuduh yang diwakili Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff memohon wang jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan tertuduh sendiri telah menyerah diri dan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat dijamin RM125,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM dua kali sebulan.

Mahkamah turut menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Selasa, SPRM dalam satu kenyataan meminta orang ramai yang mengenali seorang wanita, Siti Aisyah Mohamad Amir yang alamat terakhir di Blok 2, Tingkat 10B, Berek Polis Seksyen 9, Persiaran Kayangan, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan.