MELAKA - Seorang anggota tentera antara lima pemandu yang didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu secara berbahaya.
Tertuduh Azwan Md Zin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin manakala dalam mahkamah berasingan, Suhisham Suhaimi, 28; Muhammad Aiman Azim Abdullah, 30 dan Muhammad Izzad Khalid, 31, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa memandu kenderaan masing-masing di atas jalan raya dalam keadaan berbahaya kepada pengguna lain pada jam kira-kira jam11.30 malam di Jalan Kota Shahbandar Pesisir Pantai Eye On Malaysia pada 20 Februari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda bermula RM5,000 sehingga RM15,000 dengan lesen memandu digantung mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan) 2020.
Sementara itu, di hadapan Mazana, seorang pemandu Mascleonza Majakus, 33, turut membuat pengakuan tidak bersalah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dengan kadar alkohol dalam nafas sebanyak 216 miligram per 100 mililiter iaitu melebihi paras dibenarkan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.30 pagi di Jalan Kubu, di sini, pada 21 Februari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda bermula RM10,000 sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin yang mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap Azwan dan Mascleonza.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari, mencadangkan jaminan RM8,000 kepada tiga tertuduh lain.
Azwan diwakili peguam Ishak Kari manakala peguam S Daniel mewakili Suhisham, Muhammad Aiman dan Muhammad Izzad.
Mahkamah kemudian membenarkan Azwan diikat jamin sebanyak RM2,000 dan Mascleonza diikat jamin RM1,500 selain menetapkan sebutan semula 5 April depan manakala tiga yang lain dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula pada 25 Mac depan.