DENGAN persiapan untuk Olimpik Tokyo terganggu disebabkan keadaan semasa akibat pandemik Covid-19, ratu terjun negara, Pandelela Rinong merasakan sasarannya untuk meraih pingat emas Olimpik bukanlah satu sasaran yang realistik.
Penerjun berusia 27 tahun dari Kuching itu mengakui, walaupun menjadi impian dan harapannya untuk meraih pingat emas Olimpik, namun pingat perak atau gangsa dilihat sebagai lebih realistik disebabkan situasi yang telah menjejaskan jadual latihan dan pendedahan di luar negara.
Pandelela menjelaskan, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sesi latihannya dikurangkan daripada dua sesi kepada satu setiap hari.
"Secara jujurnya, jika mahu membandingkan dengan perisapan untuk Olimpik sebelum ini, latihan sedia ada tidak mencukupi. Terdapat terlalu banyak perkara terjejas (akibat PKP) bukan sahaja latihan dengan hanya tinggal lima bulan sahaja lagi. Tetapi kita lihat bagaimana ia berlaku dan doakan yang terbaik.
"Persiapan boleh jadi lebih baik sekarang ini tetapi kita perlu ikuti SOP yang ketat. Diharapkan kita boleh mampu untuk beraksi dengan baik pada dua kejohanan besar (Piala Dunia Terjun pada April dan Olimpik pada Julai),” katanya.
Bagaimanapun, Pandelela yang memang pingat perak dalam acara terjun platform 10 meter seirama bersama Cheong Jun Hoong pada Olimpik Rio 2016, berjanji untuk berusaha sebaiknya untuk bertanding dan beraksi secara konsisten pada kejohanan-kejohanan tersebut.
Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo dijadualkan pada 18 hingga 23 April merupakan kejohanan antarabangsa pertama untuk tahun ini, namun tertakluk kepada perubahan disebabkan Jepun telah menyambung sekatan sempadannya sehingga 7 Mac.
Mengulas mengenai vaksin Covid-19, Pandelela berkata, walaupun atlet juga perlu divaksinkan untuk berlatih dengan selamat dan mewakili negara di pentas antarabangsa termasuk Olimpik Tokyo, namun barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi perlu menjadi keutamaan.
"Saya percaya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi patut dapat keutamaan dahulu. Atlet berprestasi tinggi mempunyai sistem imunisasi yang lebih kuat daripada orang biasa lain, bagaimanapun kita perlu mendapatkan vaksin tepat masanya bagi membolehkan kita beraksi di Olimpik,” katanya.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menghantar senarai 4,000 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara kepada Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk diberikan keutamaan divaksin.
Malaysia menerima kumpulan pertama 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada Ahad dan dijadualkan untuk menerima 182,520 dos lagi hari ini, dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini, dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa 2 daripada April hingga Ogos, akan melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas dan kumpulan berisiko tinggi dan orang kurang upaya melibatkan kira-kira 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 daripada Mei tahun ini sehingga Februari 2022 akan meliputi warganegara dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang. - Bernama