PENAMPANG - Taktik licik pemilik premis menjalankan kegiatan judi tanpa lesen di sebalik perniagaan runcit dan makanan gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu dalam operasi di sekitar Penampang dan Putatan, pada Rabu.
Dalam operasi bermula jam 8 pagi itu, sebanyak 15 premis diambil tindakan dengan memutuskan bekalan elektrik dan seramai 15 individu ditahan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
"Semua premis yang diserbu terbabit dalam kegiatan judi dalam talian yang berselindung di sebalik aktiviti perniagaan runcit dan makanan," katanya kepada pemberita.
Katanya lagi, kejayaan operasi itu adalah hasil daripada maklumat orang awam
Mohd Haris berkata, operasi itu akan terus dijalankan sebagai salah satu usaha membanteras aktiviti perjudian terutama di Penampang.
"Usaha membongkar kegiatan semua premis berkenaan berjaya dilakukan dalam beberapa operasi sejak tahun lalu.
"Terima kasih kepada SESB cawangan Penampang kerana membantu dalam proses memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit," katanya.