KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebak apabila melihat rumah yang didiami warga emas, Leong Choong Keong, 65, di Kampung Baru Salak Selatan di sini berada dalam keadaan daif.
Annuar turun padang meninjau keadaan selepas mendapat maklumat daripada aktivis, Kuan Chee Heng mengenai kesempitan hidup dihadapi Choong Keong yang tinggal sebatang kara dalam pondok usang peninggalan orang tuanya sejak tiga tahun lalu.
Kongsi Annuar, sepanjang berkecimpung sebagai wakil rakyat, keadaan Choong Keong adalah yang paling teruk pernah ditemuinya setakat ini.
"Sebagai manusia biasa kita tak boleh biarkan perkara begini. Saya tak pernah tengok orang duduk di rumah seperti ini, di tengah bandar.
"Masyarakat kalau nampak situasi macam ini, jangan biarkan. Dia tiada tempat untuk dituju dan perlu dibantu.
"Dia perlu kosongkan rumah ini dan saya bersama Uncle Kuan (Chee Heng) akan pantau serta pastikan dia dapat memulakan hidup baharu," katanya ketika melawat Choong Keong di Kampung Baru Salak Selatan di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pendedahan Chee Heng atau dikenali Uncle Kentang yang menemui seorang warga emas terbabit tinggal bersendirian dalam teratak usang berbumbung zink reput dan berdindingkan kain selimut dan plastik.
Lelaki warga emas itu tinggal di pondok dikelilingi semak dan masih menggunakan kad pengenalan lama yang sudah hampir reput.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, warga emas tersebut kini di bawah jagaan Chee Heng, sementara pihaknya menguruskan penempatan lebih selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Secara peribadi, saya nak binakan rumah untuknya di tapak asal, namun selepas disemak status tanah itu kini milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Disebabkan tak boleh nak bina rumah baharu, jadi saya akan gantikan dengan rumah PPR sama ada di PPR Sri Labuan atau Sri Malaysia. Kemudian saya cuba uruskan untuk proses hak milik," katanya.
Sementara itu, Chee Heng yang turut berada di lokasi meluahkan rasa lega dengan keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan itu.
"Warga emas ini duduk di rumah RM1 di Puchong sejak dua hari lepas. Jadi kita tak bimbang dengan keselamatan dia yang duduk bersendirian.
"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan turun esok (Khamis) untuk uruskan kad pengenalan dia untuk digantikan yang baharu," katanya.