TANAH MERAH – Tiga buah premis dikompaun dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Tanah Merah pada Rabu kerana melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi harga kawalan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, sebuah premis juga dikompaun kerana melanggar Perenggan 2(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan setelah kaedah penyamaran dan uji beli dilakukan di premis terlibat di sekitar daerah tersebut pada Rabu.
"Operasi ini diadakan untuk memastikan pengguna mendapatkan bekalan LPG dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan. Premis tersebut didapati gagal meletakkan tanda harga ke atas LPG yang dipamerkan untuk jualan.
"Harga kawalan bagi runcit LPG adalah RM1.90 sekilogram dan untuk silinder 10 kilogram adalah RM19.00, manakala 12 kilogram adalah RM22.80 dan 14 kilogram adalah RM26.60.
"Dalam operasi tersebut didapati peniaga menjual melebihi harga kawalan sehingga RM28.50 bagi silinder 14 kilogram dan RM26 bagi silinder 12 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, dalam operasi yang sama, sebuah lori dengan muatan 75 silinder LPG juga disita kerana dipercayai berurusan secara borong tanpa lesen yang sah.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 3 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan nilai rampasan bagi kes tersebut adalah sebanyak RM32,426.60.
"Pemeriksaan lanjut ke atas pembekal lori yang disita mendapati bekalan tersebut diperoleh daripada sebuah pemborong berlesen yang beralamat di Machang.
"Tindakan kes telah diambil ke atas pembekal tersebut di bawah Peraturan 9(2) Peraturan-peraturan Kawalan 1974 kerana disyaki menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen.
"Secara keseluruhan, operasi hari ini telah menghasilkan sebanyak enam tindakan kes di mana empat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan dua kes lagi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Katanya, KPDNHEP memberi amaran keras dan tindakan akan diambil bagi mana-mana individu jika didapati menjual LPG melebihi harga kawalan.
KPDNHEP Cawangan Tanah Merah juga memohon pengguna untuk menyalurkan aduan atau maklumat melalui talian Hotline 1-8000-886-800 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di mana-mana peajbat kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.