KUALA LUMPUR - Pasukan Sarawak United diyakini mampu mencabar kejuaraan Liga Premier musim ini dengan kehadiran ramai nama besar kancah Liga Malaysia (Liga-M) dalam pasukan itu seperti Norshahrul Idlan Talaha, Sandro da Silva, Taylor Regan dan D Christie Jayaseelan.
Diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas jurulatih kebangsaan, B Satiananthan selaku pengarah teknikal, pasukan dari Bumi Kenyalang itu dilihat serius dalam memburu slot ke Liga Super pada musim 2022.
Ketua jurulatihnya, E Elavarasan melahirkan keyakinan kehadiran pemain terbabit mampu memberi kelainan kepada pasukan berbanding musim lalu apabila membuka kempen liga menentang Kelantan United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 6 Mac ini.
"Namun, saya tidak mahu situasi itu meletakkan kami terlalu yakin sehingga memandang rendah cabaran pasukan lain kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dalam soal taktikal dan keserasian pemain.
"Saya harap pemain mampu berada di tahap bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan bermula dan berdasarkan pengalaman yang ada pada kebanyakan pemain baru diambil musim ini, saya jangka kami mampu lakukannya,” beliau dipetik berkata dalam kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Elavarasan juga yakin dengan kemampuan penyerang berpengalaman Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, dan menganggap pemain itu sebagai antara penggempur tempatan terbaik dalam kancah Liga-M.
Bekas pengendali PKNS FC dan Melaka itu berkata, sekiranya Mat Yo mampu berada di kemuncak prestasi, bekas pemain kelab BG Pathum United di Thailand tersebut mampu menjadi penyumbang utama jaringan buat Sarawak United.
"Saya rasa beliau masih ada kemampuan untuk menjadi seorang pemain yang kita semua kenali dahulu dan akan jadi aset penting buat pasukan," katanya.
Antara muka baharu yang turut menyarung jersi Sarawak United ialah pemain sayap import dari Korea Selatan, Lee Chang-hoon; penyerang, Tommy Mawat Bada; pemain pertahanan, Amer Saidin, K Reuben, Khair Jones dan pemain tengah, Gopi Rizqi. - Bernama