KUANTAN - Pemberi rasuah perlu dikenakan hukuman sama berat dengan penerima kerana individu itu juga adalah punca kepada berlakunya jenayah tersebut.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, jika hukuman berat dikenakan kepada pemberi yang berani memberi suapan sudah pasti amalan rasuah dapat dihindari.
"Kita jarang dengar pemberi rasuah dikenakan hukuman di sisi perundangan sedangkan mereka juga membuka ruang kepada berlakunya jenayah itu.
"Bak kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya. Justeru, kerajaan perlu perketatkan undang-undang, hukuman bukan sahaja kepada penerima tetapi juga pemberi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan juga diminta untuk segera membendung isu rasuah kerana perbuatan korupsi ini sudah sebati dalam kehidupan masyarakat.
Katanya, malah, perbuatan rasuah tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah atau dosa kepada masyarakat pada hari ini.
"Jadi menjadi kewajipan pihak kerajaan, orang awam dan ahli politik meningkatkan usaha mereka bagi mencegah amalan tidak sihat ini.
"Mereka (rakyat Malaysia sama ada penjawat awam, orang awam dan ahli politik) mesti menjauhi amalan rasuah yang menjadi musuh utama negara. Kalau dibiarkan berterusan, ia akan menjadi barah yang membunuh rakyat dan negara tercinta ini," katanya.
Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, rasuah adalah punca kepada segala jenayah kerana ia boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan sekali gus terjerumus ke kancah kegiatan yang tidak sihat.
Beliau berkata, amalan rasuah di negara ini dilihat semakin parah, malah ada yang tidak segan silu untuk melakukannya walaupun tahu ia satu perbuatan tidak bermaruah.
Katanya, disebabkan itu ada pihak tertentu yang sanggup menerima rasuah, akhirnya keselamatan dan pertahanan negara boleh tergugat selain sempadan negara turut dikompromi.
"Rasuah ini saya lihat lebih parah daripada pandemik Covid-19 jika tidak dibendung," katanya.
Haslihelmy berkata, mengambil contoh, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi 2020, Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, turun enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 untuk 2020 berbanding 53 pada 2019 dan pada 2018, kedudukan CPI Malaysia naik 10 anak tangga pada kedudukan ke-61 dengan skor 47 daripada 100 mata.
Menurutnya, antara faktor kejatuhan Malaysia dalam CPI 2020 adalah berleluasanya amalan rasuah, ketidakstabilan politik negara, krisis dalam demokrasi, ekonomi yang lemah dan ketidaktentuan masa depan negara.
"Jika dilihat pada CPI itu, amalan rasuah masih berleluasa dan membimbangkan di negara ini dan PSAP sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bimbang jika budaya ini berterusan, ia tidak boleh diubati lagi jika barahnya sudah meresapi dalam diri.
"Kalau ambil contoh, sewaktu negara sedang berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, kes tangkapan rasuah pada 2020 adalah 998 kes keseluruhannya. Biarpun jumlah itu menurun berbanding 2019 dengan 1,101 kes, ia perlu dibanteras," katanya.