Tujuh pelacur warga asing ditahan

Iklan
PDRM
BUTTERWORTH - Tawar seks melalui aplikasi sosial WeChat dengan bayaran RM180 hingga RM200, itu taktik dilakukan sekumpulan pelacur warga asing yang menjadikan sebuah hotel di Jalan Rangoon, Georgetown dekat sini sebagai lokasi mereka mencari wang mudah dengan menjaja tubuh.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, golongan pelacur itu dikawal sindiket dan hanya pelanggan yang ditapis terlebih dahulu dibenarkan masuk ke hotel berkenaan untuk mendapatkan khidmat seks.

"Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar selepas pihak kami yang menjalankan risikan dan intipan menyerbu hotel berkenaan pukul 10.30 malam Isnin dan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada lima Vietnam serta masing-masing seorang Thailand serta Loas," katanya di sini hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan itu berusia 20 hingga 30 tahun dan masuk ke Malaysia sebagai pelancong namun bekerja sebagai pelacur menerusi satu sindiket yang didalangi rakyat tempatan.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan terdapat lima lelaki warga tempatan sedang mendapatkan perkhidmatan pelacur di hotel berkenaan dan kesemua mereka turut ditahan untuk membantu siasatan.

Meor Hezbullah berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik mereka turut menemui wang tunai, kondom dan minyak pelincir yang digunakan untuk aktiviti seks.

"Hotel itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini kerana kesalahan yang sama dan kami akan menulis surat kepada Pihak Berkuasa Tempatan supaya mempertimbangkan untuk membatalkan lesen perniagaan mereka kerana melanggar undang-undang," katanya.

Katanya, semua wanita warga asing itu di dapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan mereka dibawa balik ke Pejabat Imigresen di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depo Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan lanjut.

"Pihak kami sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan dalang utama sindiket itu untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Peraturan 39(b)Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan tidak bermoral serta warga asing tanpa izin di negara ini. - Bernama