SEREMBAN - [LAPORAN KHAS] Dapur Kausar yang terletak di Jalan Kapitan Tam Yeong di sini disifatkan sebagai penyelamat buat nasib gelandangan di daerah ini sejak beroperasi setahun lalu.
Ia bukan sekadar menyediakan makanan percuma tetapi juga tempat untuk membersihkan diri serta peluang buat gelandangan memperbaiki diri menerusi pelbagai kelas kemahiran dan agama yang dianjurkan.
Pengasasnya, Azlin Ali, 42, berkata, matlamatnya membuka Dapur Kausar bukan sekadar bersifat 'touch n go' semata-mata.
Sebaliknya, beliau berharap yang golongan gelandangan berkenaan dapat berubah sekali gus menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Dalam tempoh setahun saya uruskan Dapur Kausar ini, saya dapati mereka ini bukannya jahat, cuma nasib hidup mereka tidak bernasib baik dan sebab itu pilih jadi gelandangan.
"Rata-ratanya mempunyai masalah keluarga yang ada kisah masing-masing. Tapi yang saya nampak mereka ini kurang kasih sayang," katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, katanya, kebanyakan daripada mereka juga didapati mempunyai tabiat menghidu gam dan mempunyai masalah mental.
Oleh sebab itu, Azlin berkata, dia sangat mengharapkan ada pihak yang dapat membantu memberi khidmat kaunseling atau dakwah kepada mereka yang beragama Islam.
"Sasaran saya ialah dapatkan rumah wakaf yang boleh disewa dengan harga murah supaya kita dapat kumpulkan mereka untuk belajar agama atau ikuti kelas kemahiran tertentu sepertimana di Rumah Pengasih.
"Saya tak mahu gelandangan ini hanya datang kepada kita untuk makan saja, tapi saya mahu hidup mereka berubah," katanya.
Menurut Azlin, bagi membantu golongan itu memperbaiki diri, pihaknya turut menyediakan kelas agama buat mualaf dan golongan transgender pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
Katanya, beliau percaya dengan memberi penekanan kepada aspek kerohanian dalam diri, ia dapat menguatkan hati mereka untuk berusaha menjadi lebih baik.
Bagaimanapun, dia mengakui masih ada pihak yang memandang serong usaha yang dilakukan itu kerana beranggapan golongan gelandangan ini tidak harus diberi perhatian.
"Tapi ia sikit pun tak memadam keikhlasan saya membantu mereka. Bagi saya semua orang berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.
"Saya selalu cakap kepada gelandangan ini yang Dapur Kausar ini sayang mereka dan kita sebagai satu keluarga," katanya.
Ditanya mengenai kos operasi, Azlin berkata, beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 setiap bulan termasuk bayaran sewa premis sebanyak RM1,250.
Sehubungan itu, katanya, dia sangat mengharapkan ihsan orang ramai untuk terus membantu bagi kelangsungan Dapur Kausar.
"Untuk kos penyediaan makanan, saya bersyukur kerana bantuan tidak pernah putus. Tapi yang saya risaukan kos operasi dan ada ketikanya terpaksa guna duit poket sendiri.
"Saya juga bersyukur suami, Zainuddin Abas dan empat anak banyak membantu," katanya.
Azlin berkata, jika kebiasaannya sebanyak 100 pek makanan disediakan, tetapi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau terpaksa menambah 50 pek makanan lagi.
Katanya, ada dalam kalangan mereka yang datang terdiri daripada asnaf dan mereka yang diberhentikan kerja.
"Kami tiada masalah untuk kongsi rezeki kerana kita tahu dalam keadaan sekarang ramai orang yang hidupnya terjejas.
"Cuma bezanya jika dulu mereka boleh terus makan di sini, tapi sekarang disebabkan PKP, kita buat konsep tapau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya