KUANTAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 806 penginapan pekerja dalam Operasi khas Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Pahang.
Pengarahnya, Pezman Che Hussin berkata, pemeriksaan itu dilakukan dalam tempoh operasi bermula September 2020 hingga kini melibatkan kediaman lebih 10,000 pekerja warga asing dan tempatan.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan melalui dua fasa iaitu pada fasa pertama bermula September 2020 hingga Januari 2021, pendekatan lebih kepada pendidikan dan pemakluman kepada majikan terhadap pematuhan akta 446.
"Melalui fasa itu, 438 penginapan pekerja telah diperiksa melibatkan 9,126 pekerja terdiri 6,315 pekerja asing dan 2,811 pekerja tempatan.
"Dalam fasa kedua, JTK Pahang mewujudkan pasukan petugas khas Akta 446 peringkat negeri Pahang terdiri dari pelbagai agensi termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP); Jabatan Perhubungan, Perusahaan,Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja; polis; PBT dan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pezman berkata, bermula Februari 2021 hingga kini, JTK Pahang telah menjalankan operasi bersepadu dengan agensi berkaitan.
"Sebanyak 120 tempat kerja dilawati dengan 371 penginapan pekerja diperiksa melibatkan 1,667 pekerja terdiri 1,525 pekerja asing dan 142 pekerja tempatan," katanya.
Beliau menambah, penguatkuasaan akta itu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja selain membendung penularan Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja dan penginapan pekerja di negeri ini.
"JTK Pahang menyeru majikan di negeri ini yang belum memohon untuk mendapatkan perakuan penginapan sebagaimana peruntukkan Akta 466 perlu segera berbuat demikian.
"Permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang http://akta466.mohr.gov.my,"katanya.
Tambah beliau, kegagalan berbuat demikian, majikan boleh dikenakan tindakan di bawah akta itu yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja.
"Ia bertujuan menyedarkan majikan terhadap keperluan menyediakan penginapan yang kondusif agar keharmonian pekerjaan dapat dikekalkan," katanya.