SHAH ALAM - Ibu bapa perlu memerhati atau mengawasi anak-anak mereka mengenai apa yang mereka lihat dan dengar.
Sekretariat Bimbingan Fitrah Insani, Mohd Fadhli Othman berkata, mereka seharusnya melihat siapa yang memberikan input lawak lucah yang boleh menyebabkan anak mereka diterapkan dengan apa yang mereka lihat.
"Dalam hal ini sebenarnya ia datang daripada pendidikan di rumah serta latar belakang ibu dan ayah berikan kepada anak-anak.
"Maknanya kalau seorang anak itu suka membaca buku lawak, adakah ibu dan ayah melihat buku lawak itu mengandungi perkara yang tidak sepatutnya.
"Ataupun anak-anak itu melihat televisyen dan sebagainya adakah ada pengawasan ibu dan ayah,” katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-93 bertajuk Norma Lawak Lucah: Mana Harga Diri? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Program itu turut menampilkan Pengasas Tadbir Insan Training dan Consultancy, Mustafar Mohd Suki; Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari My Qurantime, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah Al-Nur ayat 19-21 dan surah Al-Ahzab ayat 70-71.
Mengulas lanjut, Mohd Fadhli berkata, pentingnya ada pengawasan daripada ibu dan bapa sama ada anak-anak mereka akan meniru semula apa yang dilihat.
"Bila peniruan itu berlaku, maka ia akan menjadi normalisasi.
"Normalisasi ini merujuk kepada setiap perkataan, perbuatan, tulisan dan setiap apa yang digambarkan oleh media massa, media sosial atau sesiapa sahaja yang bercakap terutamanya orang yang mendapat kepercayaan atau mempunyai daya penarik maka akan menjadi normal ke dalam masyarakat atau dunia kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan perkara seperti itu ia akan menjadi adat kebudayaan dalam masyarakat di negara ini.