Kerajaan negeri nafi Exco ambil kuota barisan hadapan

Iklan
Tangkap layar status individu terbabit yang mempertikaikan barisan Exco akan divaksin pada fasa pertama. Gambar kecil: Rahmad

MELAKA - Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa Exco-exco didakwa mengambil kuota barisan hadapan, iaitu kumpulan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19 pada awal Mac depan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara berkenaan tidak sewajarnya dipertikaikan malah barisan Exco juga merupakan barisan hadapan untuk menerima suntikan vaksin berkenaan pada 2 Mac ini.

Iklan
Iklan

"Itu tidak benar kerana YB (Yang Berhormat) dan Exco hanya membabitkan 30 orang, manakala untuk barisan hadapan termasuk doktor, polis, tentera dan sebagainya ada 11,000 kuota.

"Saya tak faham dakwaan individu itu, namun sekiranya individu itu nak sangat, ambil sahaja kuota saya dan saya tak suntik pun tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, seorang individu dipercayai petugas kesihatan memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya dan mempertikaikan Exco menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama.

Pada Rabu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sebanyak 8,190 dos vaksin telah selamat tiba bagi fasa pertama dan sejumlah 2,810 lagi dos vaksin akan dihantar ke Melaka dalam masa terdekat sekali gus melengkapkan jumlah 11,000 dos vaksin pada fasa pertama.

Iklan