Noh ulangi pendirian mahu Dewan Rakyat bersidang

Iklan
NOH

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mengulangi pendiriannya bagi mendesak kerajaan meneruskan persidangan Dewan Rakyat dalam kadar segera.

Menurut Noh, banyak isu yang kerajaan terlepas pandang sebelum ini dapat diselesaikan secara terperinci sekiranya persidangan Dewan Rakyat diteruskan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pandangan yang dilontarkan oleh pihaknya itu juga adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

"Saya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Iklan

"Titah Seri Paduka Baginda adalah selari dengan kenyataan saya sebelum ini di mana Dewan Rakyat boleh bersidang untuk mendengar pandangan dan masalah rakyat dalam mendepani Covid-19," katanya menerusi kemaskini di laman Facebook, pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menzahirkan pandangan itu menerusi kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, pada Rabu.

Iklan

Ahmad Fadil berkata, perkara tersebut adalah termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Noh sebelum ini pernah mendesak agar persidangan Dewan Rakyat diteruskan bagi mengekalkan amalan demokrasi selain mendengar pandangan smeua pihak dalam menghadapi penularan Covid-19.

Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung bermula 12 Januari lalu susulan pengisytiharan darurat dan semua pilihan raya tidak akan diadakan sehingga 1 Ogos depan.