SINGAPURA - Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 Sinovac pada 13 Februari 2021, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Kementerian - dalam data lengkap Covid-19 yang dikeluarkan di sini - menyatakan vaksin itu, bagaimanapun, belum mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) untuk digunakan di Singapura.
Sinovac telah mula menghantar data awal.
"HSA ketika ini sedang menunggu penghantaran semua maklumat yang diperlukan mengenai Sinovac untuk penilaian saintifik menyeluruh mengenai proses pembuatan, keselamatan dan keberkesanan vaksin itu di bawah Laluan Akses Khas Pandemik," kata kementerian itu.
Dalam kenyataan lain, Kedutaan China di Singapura mengesahkan ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac China yang dibeli Singapura.
Menurut kedutaan, kedua-dua negara saling membantu menghadapi cabaran sejak pandemik Covid-19 bermula, menjadi contoh yang baik untuk kerjasama menentang virus di antara negara-negara.
"Ia dipercayai akan menyumbang kepada keupayaan Singapura menangani virus dan memulihkan kehidupan dan pembangunan ekonominya," kata kedutaan itu di laman Facebook rasminya.
Kedutaan menyatakan China akan terus bekerjasama dengan Singapura untuk meningkatkan kerjasama dalam kawalan vaksin dan wabak, membangun komuniti kesihatan global untuk semua, dan memenangi perjuangan melawan wabak tersebut.
Kementerian Kesihatan Singapura juga memaklumkan republik itu telah menerima penghantaran baharu vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 24 Februari.
"Kami akan terus memantau bekalan kita dengan teliti untuk memenuhi sasaran vaksinasi semua warga Singapura dan penduduk jangka panjang di Singapura pada akhir 2021," katanya.
Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna pada 21 Disember 2020, dan 17 Februari 2021.
Ia akan melancarkan vaksinasi untuk kumpulan berusia 60 hingga 69 tahun pada akhir Mac, diikuti penduduk lain pada April.
Menteri Kesihatan republik itu, Gan Kim Yong berkata, sejuta lagi akan menerima suntikan menjelang April, setakat ini, sekitar 250,000 penduduk Singapura sudah divaksin. - Bernama