Warga emas ditahan bungkus semula minyak masak bersubsidi

Iklan
Serbuan ke atas premis di Taman Emas, Kulim pada Rabu mendapati berlaku penyalahgunaan lesen runcit menjual barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi.

KULIM- Seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan lesen runcit menjual barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Taman Emas kira-kira jam 10.30 pagi pada Rabu.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim, Mohd Fazly Edros berkata, lelaki yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan sama, pihaknya menyita sebanyak 98 botol minyak masak sembahyang, 100 kilogram (kg) minyak masak paket satu kilogram, 182 unit plastik minyak masak dan tangki simpanan minyak bernilai anggaran RM773.40.

"Hasil pemeriksaan tersebut mendapati wujud aktiviti membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak sembahyang.

Iklan

"Minyak masak itu dibotolkan dengan kapasiti 750mililiter (ml) dan dijual semula pada harga RM3 sebotol di mana sepaket minyak masak 1kg, boleh mengeluarkan sebanyak dua botol minyak sembahyang.

"Untuk makluman, minyak masak bersubsidi 1kg dikawal harga pada RM2.50 sepaket," katanya.

Iklan

Menurut beliau, berdasarkan keterangan lelaki tersebut, aktiviti pemprosesan minyak masak untuk sembahyang dijalankan di kediaman sendiri sejak tahun 2019 menggunakan minyak masak industri.

"Namun sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lelaki itu hanya mampu membeli minyak paket dan diproses menjadi minyak sembahyang untuk dijual kepada peniaga di sekitar Kulim," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati perniagaan itu mempunyai lesen untuk berurus niaga minyak masak secara runcit dengan kuota penyimpanan sebanyak 1,000kg pada satu-satu masa bagaimanapun tidak memiliki kebenaran untuk membungkus semula barang kawalan minyak masak.

Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pembungkusan semula minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

"KPDNHEP juga memberi peringatan dan amaran kepada semua pemegang lesen sama ada borong atau runcit supaya tidak bersekongkol atau bersubahat dalam sebarang aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.

"Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat," katanya.