KEMAMAN - Seramai 300 warga Kijal di sini yang terjejas banjir menerima sumbangan disalurkan Yayasan Pelindung dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM).
Setiausaha YPKPJM, Datuk Seri Sharizal Sarip berkata, sumbangan berupa barangan keperluan dan makanan itu disampaikan kepada keluarga golongan B40 dan golongan kurang bernasib baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Iklan
Iklan
Katanya, antara barangan diagihkan ialah makanan asas seperti beras, gula, tepung minyak, mihun, telur, air mineral dan sardin dengan anggaran peruntukan RM50 bagi setiap penerima.
"Program seumpama ini telah aktif dilaksanakan sejak tiga hingga empat tahun lalu.
"Bantuan ini tertumpu kepada individu terjejas khususnya golongan B40 dan mereka yang kurang bernasib baik. Ia akan diadakan dari masa ke masa bagi membantu golongan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, YPKPJM adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan dan keselamatan melalui program kemasyarakatan di samping memupuk sikap saling bantu-membantu dan bertanggungjawab sesama ahli dan masyarakat.
Katanya, kali ini pihaknya bekerjasama dengan Eko Indrajaya Trading dan Peniaga-peniaga Acheh Zon Puchong, Selangor bagi Program Penyerahan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan Di Dun Kijal, Kemaman, Terengganu.