'Saya sihat, tiada rasa luar biasa'

Iklan
Muhyiddin memaklumkan mengenai keadaan dirinya itu melalui satu video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya pada Khamis.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkongsi perkembangan kesihatannya, sambil menyatakan beliau sihat dan tidak demam selepas dua hari disuntik vaksin Covid-19.

Muhyiddin memaklumkan mengenai keadaan dirinya itu melalui satu video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya.

Iklan
Iklan

"Semuanya berjalan dengan baik, saya yakin ini vaksin yang selamat, vaksin berkesan, jadi ramai nak tanya saya, hari ini bagaimana keadaan saya, Alhamdulillah, saya berasa sihat, tiada rasa demam, tiada rasa luar biasa, makan macam biasa, selera pun macam biasa," katanya sambil menzahirkan kesyukuran.

Semalam, Muhyiddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Iklan

Turut menerima dos pertama vaksin itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga telah menerima tarikh temu janji untuk suntikan dos kedua yang dijadual pada 17 Mac depan.

Iklan

Muhyiddin berkata, sebagai penerima vaksin, beliau juga menerima pelbagai maklumat berkenaan vaksin melalui aplikasi MySejahtera yang dimuat turun dalam telefon bimbitnya.

"Sebab itu, saya nak minta sekali lagi supaya semua memainkan peranan masing-masing menyokong usaha kerajaan dan negara untuk kita landaikan kes Covid-19 dengan cara kita ramai-ramai mendaftar diri untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyeru orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun telah menerima vaksin.

"Pakai pelitup muka, cuci tangan seperti biasa, jaga penjarakan fizikal, jangan pergi tempat ramai-ramai (orang), ini harus kita teruskan walaupun telah diberikan suntikan vaksin," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi perkembangan sama melalui balasan teks menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

"Saya juga baik, tiada kesan sampingan, tiada rasa demam atau sakit. Sudah lapor kepada aplikasi MySejahtera," katanya.

Beliau turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan beliau telah mengemas kini pemantauan susulan dalam aplikasi MySejahtera menerusi telefon bimbitnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin individu pertama terima vaksin Covid-19 di Malaysia