Intelek seru lebih banyak NGO bantu pelajar

Iklan
AKMAL FITRY

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (Intelek) menggesa lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu menyediakan kelas kepada pelajar pada fasa pasca Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausahanya, Akmal Fitry Suhaimi berkata, bantuan pembelajaran berterusan ini dapat membantu pelajar menimba ilmu yang lebih, dalam pelbagai cara ketika norma baharu ini.

Iklan
Iklan

"Kita perlu perbanyakkan kelas-kelas percuma secara dalam talian ataupun secara bersemuka dengan mematuhi standard prosedur (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi pelajar yang berada di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Inisiatif ini amat penting dan diperlukan kerana pelajar kita telah melalui setahun yang mencabar, kebanyakan pembelajaran mereka terkebelakang akibat wabak Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh menyalahkan kerajaan sahaja dalam menguruskan pembelajaran pelajar kerana apa yang berlaku hari ini adalah masalah dunia, bukan hanya di Malaysia.

"Jadi peranan kita sebagai rakyat amat penting, bersama membantu kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengatasi masalah pembelajaran pelajar.

Iklan

"Inilah masa untuk mereka yang berkebolehan untuk kembali menyumbang kepada anak-anak bangsa,” katanya.

Tambahnya, hanya dengan ilmu sahaja dapat mengubah nasib sesebuah keluarga dan menjadikan mereka lebih baik.

"Atas kesedaran inilah membuatkan Intelek tampil berkongsi ilmu dan pengalaman daripada mereka yang berpengalaman.

"Kami akan meneruskan aktiviti ini secara berkala pada masa hadapan dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan dengan NGO lain dalam usaha memperkasakan pelajar-pelajar,” katanya.

Dalam masa sama, Intelek sendiri telah melaksanakan 14 sesi Teknik Menjawab Soalan SPM dan tujuh siri motivasi secara dalam talian serta dua siri motivasi secara semuka yang memanfaatkan lebih 10,000 pelajar seluruh negara.