Agong payung Keluhuran Perlembagaan

Iklan
Agong

PADA 12 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Pengisytiharan darurat itu ternyata menimbulkan pelbagai reaksi, apatah lagi ketika situasi politik negara tidak stabil. Ramai menyokong, tetapi ada juga yang menentang serta mempertikaikan pengisytiharan darurat itu.

Iklan
Iklan

Namun, pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Iklan

Pandangan itu membuktikan Seri Paduka Baginda mengutamakan prinsip Keluhuran Perlembagaan. Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menunjukkan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyatnya dengan meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap amat tinggi.

Keputusan agar Parlimen kembali bersidang juga mungkin selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Iklan

Justeru, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat. Selepas ini mungkin tiada lagi kegusaran kepada semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk hadir bersidang selepas kerajaan bersetuju untuk memberikan suntikan kepada semua wakil rakyat sebaik sahaja kempen vaksin Covid-19 bermula pada Rabu.

Maka, selepas ini ketengahkanlah isu-isu dan masalah yang dihadapi rakyat jelata dalam usaha membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah terbaik bagi menghidupkan semula ekonomi negara yang terjejas.