Pendapatan Axiata susut 1.5 peratus

Iklan
Izzaddin Idris

Axiata Group Bhd merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM365 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM1.46 bilion pada 2019.

Bagaimanapun, pendapatan syarikat telekomunikasi itu dilaporkan merosot sebanyak 1.5 peratus kepada RM24.20 bilion berbanding RM 24.58 bilion pada tahun sebelumnya susulan impak langkah kawalan dan sekatan perjalanan serta cabaran pengedaran dan kemampuan dalam pasaran operasi akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Selain itu, perolehan per saham juga turun kepada 2.8 sen daripada 3.6 sen pada tahun sebelumnya.

Axiata turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak lima sen sesaham kepada pemegang sahamnya, menjadikan jumlah dividen tujuh sen sesaham untuk tahun ini berbanding dengan jumlah 9.5 sen pada tahun sebelumnya.

Iklan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Izzaddin Idris berkata, walaupun pendapatan menurun, namun pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (ebitda) telah meningkat 1.1 peratus menjadi RM10.7 bilion berdasarkan pertumbuhan pendapatan (bekas peranti) dengan penjimatan perbelanjaan operasi sebanyak RM745 juta.

Beliau berkata, pihaknya tetap optimis dan pada masa yang sama akan lebih berhati-hati pada tahun ini dengan memberi penumpuan kepada penjimatan wang tunai menerusi perbelanjaan modal (capex) serta usaha berdisiplin untuk menguruskan kos di seluruh kumpulan termasuk mencari peluang pertumbuhan dalam normal baharu.

Iklan

Menurutnya, dengan pendapatan serta ebitda yang stabil, pihaknya sangat berharap untuk melihat hasil yang lebih baik daripada apa yang diharapkan pada tahun 2020.

"Axiata memiliki baki tunai berjumlah RM7.2 bilion dan ia memberi keyakinan kepada kami untuk mengatasi ketidaktentuan dan bergerak dengan pantas untuk merebut peluang pertumbuhan serta pengembangan.

"Kami juga membuat keputusan penting untuk mempercepat penutupan 3G di seluruh kumpulan bagi meningkatkan ketahanan rangkaian yang lebih dinamik dan intensif digital pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Khamis.

Izzaddin berkata, bagi tahun 2021, pihaknya akan menumpukan kepada pelaksanaan strategi Axiata 5.0 dengan memberi penekanan untuk memperkuat serta mencapai kecemerlangan operasi kumpulan termasuk sinergi untuk jangka masa panjang.

Katanya, Axiata juga akan terus mendukung aspirasi Malaysia seperti pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) bagi meningkatkan kapasiti negara ke arah ekonomi digital serta memanfaatkan peluang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Dalam pada itu, mengulas berhubung pengumuman 5G di bawah MDEB, Izzaddin menjelaskan, Celcom akan terus mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi memastikan pelaksanaan infrastruktur 5G.

"Selain itu, kami juga komited untuk membida lesen perbankan digital di negara ini dan akan memaklumkan kerjasama ekuiti dengan rakan kongsi yang dikenal pasti dalam masa terdekat,” katanya.