JOHOR BAHRU - Sambil menahan sakit, seorang kanak- kanak berusia tiga tahun sempat mengatakan 'kamu adalah hero saya' kepada anggota bomba ketika membantu mengeluarkan kakinya yang tersepit dalam salur paip di rumahnya di Taman Sutera Utama di sini pada Khamis.
Kanak-kanak lelaki itu terpaksa menahan sakit selama sejam selepas kaki kanannya tersepit dalam salur paip berkenaan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11.22 malam.
Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan tiga unit 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) bergegas ke tempat kejadian di Taman Sutera Utama.
"Sebaik tiba didapati seorang kanak- kanak lelaki tersepit kaki kanan sehingga paras lutut di dalam salur paip selama sejam.
"Menurut maklumat diperoleh daripada ibu mangsa, kanak-kanak tersebut bersendirian ke bilik air untuk membuang air," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohamad Nazaruddin, anggota bomba memotong sebahagian salur tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
"Kanak- kanak tersebut tidak menangis sepanjang proses pengeluaran tersebut dan hanya menjerit apabila terasa sakit pada kakinya malah dia menyatakan"kamu adalah hero saya" dalam bahasa mandarin berulang kali kepada anggota bomba ketika mengeluarkan kakinya," katanya.
Menurut Mohamad Nazaruddin, kaki kanak- kanak itu selamat dikeluarkan tanpa mengalami kecederaan teruk dan operasi ditamatkan jam 12.37 tengah malam.