WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghubungi pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz melalui telefon yang pertama kali dibuat pada Khamis, kata Rumah Putih.
Menurut AFP, dalam perbualan antara mereka berdua, Biden membincangkan komitmennya untuk membantu negara tersebut bagi mempertahankan Riyadh daripada serangan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Iran.
Bagaimanapun, Presiden AS itu menegaskan tentang isu hak-hak asasi manusia sejagat yang menjadi keutamaan negara tersebut dan kedaulatan undang-undang semasa perbualan berkenaan berlangsung.
Panggilan telefon itu dibuat sebelum satu laporan perisikan dikeluarkan oleh Washington berhubung kejadian pembunuhan kejam warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Pejabat Konsulat negara beraja itu di Istanbul, Turki pada Oktober 2018.
Khashoggi yang juga merupakan wartawan Washington Post mati dipercayai dibunuh semasa mahu mengambil dokumen kahwin dengan tunangnya yang merupakan warga Turki, Hatice Cengiz.
Menurut portal The Guardian, Rumah Putih menjelaskan bahawa ia menganggap Raja Salman, 85, sebagai rakan sejawatan Biden yang memerintah Arab Saudi.
Penjelasan itu dibuat kerana anaknya yang menjadi Putera Mahkota, Putera Mohammed Salman atau lebih dikenali sebagai MBS dianggap oleh ramai pihak sebagai pemerintah de facto negara tersebut.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan tentang Yemen dan usaha bagi menamatkan perang tersebut yang bermula pada 2014.
Rumah Putih juga berkata, Biden memberikan reaksi yang positif dalam perbualan tersebut berhubung pembebasan aktivis wanita yang memperjuangkan golongan Hawa memandu kenderaan di negara beraja tersebut, Loujain al-Hathloul dan beberapa lagi aktivis AS-Arab Saudi.
Sebelum ini Rumah Putih berkata, perbualan telefon antara Raja Salman dengan Biden akan berlaku tidak lama lagi.
Apabila ia gagal menjadi realiti pada Rabu dan pagi Khamis, dua sumber memberitahu The Guardian bahawa kegagalan tersebut menunjukkan kesukaran Rumah Putih untuk menghubungi pemerintah Arab Saudi itu.
Bagaimanapun, Rumah Putih enggan untuk memberikan komen berhubung perkara tersebut. - Agensi