IPOH - Polis menahan enam pegawai dan anggota yang sedang berhibur serta disyaki mengambil dadah dalam satu parti liar di sebuah pangsapuri, di sini awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 1.30 pagi itu turut menahan lapan wanita termasuk tiga warga Indonesia.
"Pemeriksaan lanjut tidak menemukan dadah tetapi ujian yang dijalankan mendapati pegawai dan empat anggota didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
"Tujuh wanita termasuk dua warga Indonesia turut positif,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pangsapuri tersebut disewa atau milik salah seorang suspek.
"Kita tidak berkompromi terhadap anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan tindakan tegas diambil sama seperti orang awam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mior Faridalathrash berkata, polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 22.24 kilogram (kg) bernilai RM866,577 sejak Rabu lalu.
Katanya, hasil risikan yang dijalankan sekitar Taiping dan Manjung itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 26, 35 dan 40 tahun.
"Kes pertama, dua suspek ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Baru, Kamunting dan menemukan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM9,077 selain menyita sebuah kereta dan motosikal.
"Di Ipoh, suspek yang menunggang motosikal ditahan membawa 4.5kg heroin berjumlah RM157,500 di Lapangan Symphony Business Park, di sini,” katanya.
Jelasnya, kesemua suspek direman sehingga 3 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mior Faridalathrash berkata, dadah jenis methamphetamine seberat 17.5kg bernilai RM700,000 pula ditemukan terapung di perairan Pangkor.
"Seorang nelayan yang menjumpai guni terapung bertindak menghubungi polis dan menyerahkan bungkusan itu.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 20 bungkusan serbuk teh, 17 bungkus mengandungi dadah dan tiga daripadanya rosak dimasuki air. Tiada tangkapan dibuat bagi kes ini,” katanya.