PETALING JAYA - Hanya arowana tinggal tanda kenangan. Ikan milik Allahyarham anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim itu menjadi lambang kenangan manis dan pengalaman pernah bertugas bersama, buat rakan-rakan sekerjanya.
Rakan-rakan itu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, di sini, mengambil inisiatif menjadikan arowana tersebut tinggalan Allahyarham, sebagai haiwan angkat.
Ketua BBP Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya berbuat demikian selepas mendapati tiada siapa sedia memelihara ikan itu.
"Ikan itu kami ambil dari rumah sewa Muhammad Adib di Subang Jaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Adib disedari tiada selepas EMRS berpusing
"Kami memohon kebenaran ayah Muhammad Adib untuk mengambil ikan itu bagi membolehkan kami memeliharanya dalam sebuah akuarium yang ditempatkan di dalam balai ini.
"Ia sebagai kesinambungan kepada kenangan dan pengalaman kami sepanjang bertugas bersama Allahyarham," katanya ketika ditemui pemberita di BBP Subang Jaya, hari ini.
Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.
Mengulas lanjut, Syed Shahril Anuar berkata, pihaknya ke rumah sewa Muhammad Adib untuk mengambil ikan arowana tersebut yang merupakan antara ikan hiasan paling mahal dibela Allahyarham, empat atau lima hari selepas kematiannya.
"Semasa kami pergi ambil ikan arowana itu ia hanya bersaiz tapak tangan tapi kini makin membesar," katanya.
Tambah beliau, ikan arowana itu juga sinonim dengan minat warga bomba di BBP Subang Jaya yang suka membela pelbagai jenis ikan dan mereka gemar memancing.
Dalam pada itu, Syed Shahril Anuar berkata pihaknya dalam proses membina memorial untuk Muhammad Adib yang akan menempatkan uniform serta helmet dipakai Allahyarham sepanjang bertugas dengan JBPM. - Bernama