KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti itu.
Dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook rasmi beliau menyatakan, peristiwa pada Khamis apabila seorang ADUN dari Warisan meninggalkan parti untuk menyokong kerajaan sekarang membuatkan beliau dan rakan-rakannya mengingat perbincangan mereka.
"Saya dan beberapa rakan terpilih untuk berkhidmat selama lima tahun (2013-2018) sebagai wakil pembangkang dan kami telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam politik tetapi kami tidak pernah goyah untuk beralih kepada kerajaan ketika itu walaupun mengalami kekurangan, semua tuntutan, semua sindiran, serangan peribadi dan juga tawaran menarik fiskal.
"Kami tidak boleh berunding atau berkompromi apa yang kami pilih untuk menjadi lebih sebagai individu," katanya.
Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, mereka sudah menjadi pemerintah selama 22 bulan di Persekutuan dan 26 bulan dalam kerajaan negeri.
"Dalam tempoh itu, kami kehilangan rakan atas alasan politiknya, mereka bukan saja meninggalkan parti tetapi sempat juga ‘menghentam’ kami ketika dalam proses keluar.
"Saya percaya, itu cuma cara pengakuan segelintir orang tetapi malangnya ada yang menjadikannya sebagai perkara biasa.
"Kita diajar untuk memaafkan dan kita mesti tetapi kita tidak akan pernah lupa bagaimana mereka meninggalkan tujuan mereka dengan mudah, jadi ada yang tidak dapat 'tahan' atau 'tidak boleh tahan' untuk mewakili sebagai wakil pembangkang," katanya.
Darell berkata, apa pun yang datang, mereka akan tetap melayarinya dan tabah.
Pada Khamis ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dilaporkan keluar daripada Warisan dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sebatik umum keluar Warisan