LONDON - Perubahan iklim mengakibatkan salji di pergunungan Alps mencair serta mendorong perubahan musim yang mendadak, lapor Agensi Berita Xinhua memetik kajian Universiti Manchester.
Pergunungan Alps menarik ribuan pelancong dari seluruh dunia ke resort ski di kawasan banjarannya yang diliputi salji.
Namun, menurut kajian itu salji musim bunga di Pergunungan Alps mencair lebih awal tahun ini akibat perubahan iklim yang juga mendorong perubahan mendadak terhadap ekosistem gunung.
"Perubahan ini boleh memberi kesan negatif terhadap fungsi ekosistem ini," kata penyelidik.
Penyelidikan terbaru itu menunjukkan fungsi mikroorganisma tanah di Alps terancam akibat peningkatan suhu global ekoran perubahan iklim yang berterusan.
Mikroorganisma tanah menyokong kehidupan di permukaan tanah kerana ia mengitar semula nutrien utama yang penting bukan sahaja untuk haiwan dan tumbuhan juga kepada manusia. Ia turut mengawal jumlah karbon tersimpan di dalam tanah, yang membantu mengurangkan pemanasan global.
Kajian itu menambah:"Pada musim sejuk, mikroorganisma tanah Alps bergantung pada salji untuk bertindak sebagai penghalang penebat, membolehkan ia terus bekerja sepanjang musim sejuk. Namun, dianggarkan salji musim sejuk Alps akan mulai mencair lebih 100 hari lebih awal berbanding sekarang pada akhir abad ini.
Laporan edisi terbaru The ISME Journal itu diterbitkan pada Rabu.
Pengarang utama penerbitan penyelidikan itu Dr Arthur Broadbent dari Universiti Manchester berkata:"Kajian mendapati salji musim bunga mencetuskan peralihan musim yang mendadak kepada komuniti mikroorganisma tanah, yang berkait rapat dengan pertukaran pantas dalam kitaran karbon dan nitrogen."
Katanya, akibat fungsi ekosistem musim sejuk akan berkurang dalam ekosistem musim salji di masa depan ia sekali gus mengancam pengekalan karbon dan produktiviti tanaman.
"Ini akan memberi kesan negatif terhadap pengeluaran pertanian dan mengganggu ekosistem semula jadi. Ia juga akan mengubah aliran karbon tahunan ekosistem di sini yang berpotensi menyebabkan pemanasan iklim yang berterusan," tambah Broadbent. - Bernama