Ratu Elizabeth II: Suntikan vaksin Covid-19 tidak sakit

Iklan
Ratu Elizabeth - Foto AFP

LONDON - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II pada Khamis berkata, suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19 yang diterimanya pada Januari lalu tidak menyebabkan beliau berasa sakit.

Istana Buckingham sebelum ini mengesahkan bahawa beliau yang berumur 94 tahun itu menerima suntikan tersebut bersama suaminya, Putera Phllips, 99, pada bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Ia (suntikan itu) amat pantas. Saya mempunyai sejumlah surat daripada orang ramai yang berasa terkejut mengenai betapa mudahnya untuk mendapat vaksin tersebut. Suntikan itu tidak sakit atau mencederakan," kata Ratu Elizabeth II.

"Sekali anda telah disuntik dengan vaksin, anda akan berasa dilindungi yang saya berpendapat ia adalah amat penting.

Iklan

"Sukar buat mereka yang tidak disuntik dengan vaksin tetapi mereka perlu memikirkan tentang orang lain berbanding diri sendiri," ujarnya ketika memberitahu beberapa pegawai kesihatan menerusi satu persidangan video.

Lebih 18 juta orang di seluruh Britain kini telah disuntik dengan vaksin Covid-19 yang dianggap penting bagi menghalang penularan pandemik tersebut yang telah menyebabkan lebih 112,000 orang maut di United Kingdom (UK).

Iklan

Ratu Elizabeth II memuji program vaksinasi yang dilakukan dalam tempoh pantas.

Anak beliau yang sulung dan pewaris pertama takhta Britain, Putera Charles, 72, telah dijangkiti Covid-19 pada tahun lalu.

Putera Charles bagaimanapun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama isterinya, Camilla, 73. - Agensi