APABILA sudah berumur 60 tahun ini, saya sekali lagi melakukan muhasabah diri. Kali ini, lebih mendalam.
Dalam tempoh muhasabah tersebut, saya menyampaikan dua buah ucapan yang bersifat muhasabah juga. Satu untuk Pemukiman Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota, dan satu lagi untuk Pemukiman KKMM.
Kedua-dua ucapan tersebut menyentuh perkara-perkara fundamental buat saya secara peribadi dan buat amanah yang saya pikul sebagai pemimpin kedua-dua organisasi tersebut.
Tambahan pula saya baru sahaja diberikan tanggungjawab mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Pahang. Ia juga muhasabah menjelang Setahun Malaysia Prihatin pada 1 Mac ini. Dan tentang projek Politik Baru yang saya bahas sejak tahun 2006.
Ia satu ‘pencarian roh’ (soul searching) dalam perjalanan ibadah dan perjuangan yang panjang dan berliku-liku. Perjalanan hamba ALLAH dan khalifah-NYA di muka bumi. Perjalanan yang wasatiyyah, iaitu kesederhanaan (moderation) atau 'middleness, balance and sustainability' (Osman Bakar).
Kita perlu mempunyai gambaran besar (the big picture) tentang kedudukan diri dalam dunia yang luas milik ALLAH ini.
Kedudukan sebagai individu, anggota keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, tempat kerja, di daerah, di negeri, peringkat negara, peringkat serantau dan warga dunia. Kedudukan yang sementara. Kerana kita mengimpikan kedudukan yang kekal di syurga ALLAH.
Kita perlu memiliki pandangan sarwa (world view) yang tepat. Semasa manusia percaya bahawa bumi berbentuk leper, mereka tidak membina kapal yang canggih. Kerana takut belayar jauh, nanti jatuh di hujung bumi.
Tetapi, apabila manusia mengetahui bahawa bumi ini bulat, mereka membina kapal yang canggih. Belajar pelbagai ilmu: kejuruteraan, pemakanan, kesihatan, astronomi, geografi, kebudayaan, perdagangan, diplomasi. Kerana mahu belayar sejauh mungkin. Malahan membina roket. Kerana mahu naik ke bulan.
Peranan kita terbahagi kepada dua peringkat (Stephen Covey). Pertama, peranan dalam ‘wilayah kita berkuasa’, iaitu kita dapat membuat keputusan.
Dan kedua, dalam wilayah yang lebih luas, ‘wilayah kita mempengaruhi’, iaitu kita dapat mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat oleh orang lain.
Justeru, kita harus berbuat sebanyak boleh, termasuk dalam hal-hal yang dianggap bukan kerja kita yang hakiki. Kerana yang hakiki itu belum tentu sempurna dan menghalalkan imbuhan yang didapati daripadanya.
Dalam konteks ini, keberadaan kita biarlah berimpak. Jangan hadirnya kita tidak menjadikan sembilan dan ketiadaan kita tidak menjadikan tujuh.
Panduan utama dan terbaik tentulah al-Quran dan hadis Rasulullah SAW iaitu Islam sebagai cara hidup yang sempurna dan meliputi seluruh spektrum kehidupan.
Dalam muhasabah ini, saya mengulang, antaranya, tafsir Fi Zilalil Quran (Sayyid Qutb) dan The Study Quran (Ed. Seyyed Hossein Nasr), dan buku-buku yang dibaca, diusrah dan ditamrin sejak sekolah menengah, termasuk di Big School, yang sesetengahnya masih segar dalam ingatan, hinggalah rujukan-rujukan terkini, di samping bergelut untuk menelaah yang baru dibeli tetapi belum sempat dibaca.
Daripada panduan ini, kita memenuhi hubungan kita dengan ALLAH dan hubungan kita dengan manusia.
Perlu peribadi bersepadu dari segi rohani, psikologi, intelek dan fizikal. Berkeyakinan tinggi, seperti tentera Islam dalam Perang Badar. Mampu berada dalam zon yang dikawal sendiri ketika berada dalam keliling yang bising dan kelam kabut, seperti Kobe Bryant ketika dalam perlawanan.
Tahu stesen kita dalam perjalanan hidup (ini saya pelajari semasa di Wisma Putra). Tabah dan reda mengharungi musibah dan masalah, dan bingkas bangkit untuk terus bergerak kehadapan. Memburu kecemerlangan dan kesempurnaan – beyond di mana kita berada sekarang, termasuk mencapai sesuatu yang dianggap mustahil oleh orang lain, dan bukannya banyak"tidak boleh”.
Saya juga mengulang kaji kepentingan mempunyai ‘rukun perjuangan’, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Saya telah menulis hal ini dalam buku-buku saya sebelum ini. Kali ini, saya melihatnya daripada beberapa sudut yang khusus.
Idealisme: membawa manusia tunduk sepenuh dan seutuhnya kepada ALLAH SWT, menyeru makruf dan mencegah mungkar, dan penerimaan terhadap ungkapan-ungkapan yang hampir sama maknanya, contohnya, altruisme, kesukarelaan, goodness of the heart dan sebagainya.
Aktivisme: berlumba-lumba membuat kebajikan, rajin, bersungguh-sungguh dan rela berkorban.
Intelektualisme: bahawa orang berilmu lebih baik daripada yang tidak berilmu, definisi ilmu dan budaya ilmu, makna ilmuwan dan ‘mengulamakkan intelektual-mengintelektualkan ulamak (Mohd Natsir), ilmu bersepadu (ilmu wahyu dan ilmu kemanusiaan), multi-disiplin, kekurangan rujukan Islam yang berautoriti dan kontemporari dalam banyak bidang, pakatan state-ulamak dan hubungannya dengan autoritarian dan kurang majunya umat Islam hari ini (Ahmet Kuru), perkembangan idea-idea dan teknologi terkini dan masa depan, kebebasan akademik, pengurusan ilmu, dan maqasid al-syariah.
Rukun perjuangan mengasah pemikiran tentang pelbagai perkara: pemikiran dan perkembangan Islam, social democrat, politik baru, menyegarkan-semula demokrasi, demokrasi pelbagai kaum dan moderat, public intellectual, debat dan bola keranjang, 'activist politician', diplomasi, multilateralism, komuniti digital; ilmu dan prinsip serta tafsiran dan terjemahannya yang sesuai dengan konteksnya (masa dan tempat); dan dengan berdasarkan analisis (data dan sains), yang daripadanya dicari penyelesaian-penyelesaian, lalu dilaksanakan sebagai dasar-dasar dan program-program pembangunan.
Turut dilakukan ialah memperbaharui pendekatan-pendekatan pilihan, iaitu penghakupayaan, rakan pembangunan (antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil), perundingan, dakwah (An-Nahl: 125), keterbukaan (tentang tahap-tahap kemunculan idea, teknologi sedang muncul, industri-industri masa depan, zaman keemasan tamadun Islam dan mengapa umat Islam kini mundur), design thinking, perkara pokok vs ranting, urutan prioriti dan eco-system vs control.
Dari segi polisi negara, induknya mesti diperkukuh. Ini merujuk kefahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, juga Perjanjian Malaysia 1963, serta dasar-dasar utama, contohnya, tentang bahasa Melayu, kedudukan Islam, masyarakat majmuk dan federalisme.
Sementara banyak yang perlu ditambah baik atau memerlukan reformasi: menyegarkan dan menjadikan demokrasi berkesan (reformasi parlimen dan sistem pilihan raya), amalan centripetalism, sosial dan perpaduan (hidup bersama dalam budaya damai, menyukai the other), budaya kreatif (berbudaya tinggi, nilai estetika, jati diri, kejayaan antarabangsa), pendidikan (bersepadu, memperkasa ko-kurikulum, profesional baru muncul), teknologi digital dan industri masa depan, reformasi perkhidmatan awam, integriti (membasmi rasuah dan menyelesaikan kereputan), sukan yang bebas politik dan kerangka baru dasar luar.
Sebagai kerajaan hari ini, yang berfungsi dan prihatin, yang bekerja kuat dalam zaman paling luar biasa dalam sejarah (yang tiada perbandingannya), kita perlu meningkatkan keberkesanan dalam menjayakan keseimbangan di antara hidup dan kelangsungan hidup (live and livelihood).
Soal hidup (memerangi pandemik Covid-19), sudah ada jawapan utamanya, iaitu vaksin. Manakala soal kelangsungan hidup (kebajikan, pekerjaan, perniagaan, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, pelaburan asing), pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan.
Ia perlu dilipatganda, supaya lebih berimpak dan mampu memastikan agar negara dan rakyat boleh bergerak kehadapan selepas pandemik ini selesai.
Bersama-samalah membulatkan azam dan meningkatkan tawakkal.
* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia