Eksport dan import Malaysia terus catat pertumbuhan positif

Iklan
Nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan untuk bulan Januari yang didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Foto 123RF

EKSPORT Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang positif bagi lima bulan berturut-turut apabila mengalami peningkatan sebanyak 6.6 peratus iaitu RM89.6 bilion pada bulan lalu berbanding bulan sama pada tahun 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia adalah nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan untuk bulan Januari yang didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.

Iklan
Iklan

"Eksport domestik berjumlah RM72.1 bilion yang menyumbang 80.5 peratus kepada jumlah eksport meningkat 6.3 peratus. Di samping itu, eksport semula bernilai RM17.5 bilion meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun.

"Jumlah import pada Januari 2021 meningkat sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM73 bilion. Lebihan dagangan Malaysia meningkat sebanyak 38 peratus tahun ke tahun kepada RM16.6 bilion pada Januari 2021.

Iklan

"Jumlah perdagangan yang bernilai RM162.6 bilion meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, pengembangan eksport Malaysia didorong terutama oleh eksport yang tinggi ke China (+RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.6 bilion), Vietnam (+RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (+RM821.3 juta) dan Singapura (+RM621.0 juta).

Iklan

Beliau berkata, produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.2 bilion), keluaran getah (+RM4.1 bilion), barangan perkilangan logam (+RM614.4 juta) dan kimia dan bahan kimia (+RM448.9 juta).

Sementara itu, beliau berkata, peningkatan dalam import terutamanya ialah dari Taiwan (+RM1.0 bilion), China (+RM793.9 juta), Hong Kong (+RM686.1 juta) and Indonesia (+RM662.1 juta).

"Peningkatan dalam eksport ialah untuk produk elektrik dan elektronik (+RM3.4 bilion) dan keluaran getah (+RM623.9 juta)," katanya.