EAC tumpu pembangunan ekonomi, tarik keyakinan pelabur

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama

PUTRAJAYA — Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang baru ditubuhkan akan memberi tumpuan pada pembangunan ekonomi dan mendapatkan keyakinan pelabur.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, EAC akan membolehkan kerajaan dan khususnya dirinya sendiri untuk mendengar pendapat orang ramai daripada perspektif mereka sendiri.

Iklan
Iklan

"Sekarang kami ada masa untuk menubuhkan majlis, mendapatkan maklum balas mengenai apa yang berlaku di negara dan mendapatkan idea daripada mereka untuk menyelesaikan masalah serta hala tuju,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan kad keanggotaan Bersatu kepada tujuh Anggota Parlimen yang telah keluar UMNO di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Berhubung dakwaan bahawa penubuhan EAC mencerminkan kurang keyakinan terhadap anggota Kabinet, Dr Mahathir berkata majlis serupa turut ditubuhkan semasa beliau menjadi perdana menteri keempat.

Iklan

"Tetapi saya tidak menubuhkan majlis ekonomi sejurus saya menjadi perdana menteri. Ia dilakukan agak lewat kemudian, dan Kabinet saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada saya dan kami berjaya membangunkan ekonomi,” katanya.

Dr Mahathir berkata EAC ditubuhkan kerana kerajaan mahu mendengar pendapat rakyat dan bukan hanya mendengar pendapat sendiri.

Iklan

"Mana-mana kerajaan yang tidak mahu mendengar apa yang rakyat di luar sana katakan dan hanya mendengar pendapat anggota Kabinet walaupun mereka bijak, tindakan kerajaan itu adalah salah,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menubuhkan majlis dari awal lagi iaitu sebaik sahaja mereka mengambil alih kerajaan pada tahun lepas, tetapi mereka amat sibuk.

Perdana menteri berkata masalah dihadapi kerajaan sekarang adalah disebabkan kerajaan terdahulu mengambil begitu banyak hutang.

Pejabat Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi dengan 16 anggota yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Anggota majlis itu termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan ahli perbankan terkemuka Tan Sri Tay Ah Lek.- Bernama