KUCHING - Sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak yang sepatutnya bermula 1 Mac ini, ditangguhkan selama dua minggu sehingga 14 Mac.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), keputusan itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) setelah berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkembangan semasa pandemik Covid-19 di negeri ini.
Iklan
Iklan
"Pembukaan sesi persekolahan di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri ditangguh selama dua minggu berkuat kuasa 1 Mac hingga 14 Mac.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kapasiti sistem kesihatan di kawasan yang terlibat,” menurut JPBN dalam kenyataan pada Jumaat.
JPBN juga mewujudkan satu jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri dapat berjalan dengan lancar dan selamat.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguh sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 akan bermula pada 1 Mac.
Radzi berkata, keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, manakala untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. - Bernama