SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian bersedia untuk menjadi penganjur program Berani Semuka berhubung pertikaian isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang didakwa dimanipulasikan dan mengagung-agungkan komunis.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah akhbar yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik, Sinar Harian bersedia untuk menemukan bekas Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajidi Dusuki.
"Sinar Harian berharap agar kedua-dua panel dapat menggunakan platform ini bagi mengupas dan menjawab kemelut ini.
"Kita percaya program ini akan berlangsung secara adil dan penuh adab tanpa mengaibkan mana-mana pihak, sekaligus menjawab polemik yang timbul beberapa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Polemik buku teks tingkatan empat ini menjadi panas apabila Pemuda UMNO mendakwa unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan Empat KSSM.
Asyraf mendakwa, perkara itu seperti usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dan secara halus menyucikan pemikiran pelajar.
Sementara itu, Maszlee telah menghantar surat tuntutan mohon maaf kepada Asyraf.
Katanya, budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.
"Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.
"Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati,” ciapnya di Twitter pada Jumaat.