Landasan Stesen Batu Tiga terhalang, tren kargo tergelincir

Iklan
Sebuah tren kargo dengan muatan, tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga, hari ini mengakibatkan kedua-dua landasan berdekatan stesen tersebut terhalang sepenuhnya. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sebuah tren kargo dengan muatan, tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga dekat sini pada Sabtu mengakibatkan kedua-dua landasan berdekatan stesen tersebut terhalang sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tren dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang itu tergelincir ketika melalui landasan di KM20.041, awal pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, 11 daripada 50 gerabak telah tergelincir, manakala 39 gerabak lagi dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan namun tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan serta orang awam.

"Perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan tersebut tidak dapat beroperasi ekoran insiden itu. Perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam.

Iklan

"KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat. Ini bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tren kargo yang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang tergelincir ketika melalui landasan di KM20.041, awal pagi tadi. - Foto Bernama

Mohd Rani Hisham berkata, siasatan insiden itu juga telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Iklan

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan menyediakan bas perantara kepada penumpang yang terlibat dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu KTMB,” katanya. - Bernama