SUBANG JAYA - Tren kargo yang membawa muatan tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga di sini pada pagi Sabtu mengakibatkan kedua-dua landasan tersebut terhalang sepenuhnya.
Tren berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang sebelum tergelincir di Kilometer 20.041.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan mahupun orang awam dalam kejadian itu.
Menurutnya, sebanyak 11 daripada 50 gerabak telah tergelincir manakala 39 gerabak yang lain dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.
"Kejadian menyebabkan perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan tersebut tidak dapat beroperasi ekoran insiden itu.
"Perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Rani berkata, KTMB menyediakan bas perantara kepada penumpang yang terlibat dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan arah bertentangan bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Beliau berkata, kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat sedang giat dijalankan bagi membolehkan kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.
"Siasatan punca kejadian masih dijalankan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari saluran media sosial KTMB," katanya.