BEIJING - Perjuangan China dalam membasmi kemiskinan mencatat kejayaan yang komprehensif dan berjaya dicapai 10 tahun lebih awal berbanding sasaran ditetapkan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Sejak lapan tahun lalu, secara purata hampir 100 juta penduduk miskin di negara itu berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan setiap tahun.
Angka ini hampir sama dengan populasi sebuah negara sederhana. Populasi China mewakili 20 peratus populasi di seluruh dunia.
Prestasi cemerlang ini bukan sahaja membuktikan kejayaan China semata-mata tetapi juga memberi kelebihan kepada dunia.
Berdasarkan piawaian ditetapkan Bank Dunia, perbelanjaan harian seseorang berjumlah 1.9 dolar Amerika ke bawah dianggap sebagai kemiskinan mutlak.
Oleh itu, masih terdapat lebih 700 juta orang berada dalam kemiskinan mutlak di seluruh dunia.
Menurut unjuran Bank Dunia, menjelang hujung tahun ini sebanyak 150 juta orang akan menjadi miskin melampau akibat penularan wabak Covid-19.
Dalam konteks ini, China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk mengharungi pelbagai kesukaran dan cabaran sehingga berjaya membasmi kemiskinan multak.
Kejayaan ini turut memberi sumbangan besar kepada proses pembasmian kemiskinan di dunia.
Menurut pengiraan Bank Dunia, antara 100 orang yang keluar daripada kemelut kemiskinan, 70 berasal dari China.
Sebagai negara membangun paling besar di dunia, kejayaan mengatasi kemiskinan di China memperlihatkan kemajuan perlindungan hak asasi manusia di negara ini, sekali gus menyumbang kepada usaha pengurangan kemiskinan sejagat.
Pengalaman China ini boleh dikongsi pelbagai negara dan Beijing bersedia menawarkan bantuan serta menyokong negara lain dalam mengatasi kemiskinan.
Setakat ini, China telah menghantar lebih 600 ribu pegawai ke 166 buah negara atau pertubuhan antarabangsa, menghulurkan bantuan kewangan kira-kira RMB400 bilion, selain sudah tujuh kali membatalkan hutang tanpa syarat melibatkan negara miskin atau paling mundur sepanjang 60 tahun lalu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Benarkah tiada kemiskinan di China?