Yadim peruntuk lebih RM1 juta bantu golongan terkesan pandemik Covid-19

Iklan
Nasrudin dan sukarelawan Yadim bersama penerima bantuan kotak makanan dalam kalangan masyarakat Tionghua di Tokong Sam Seng Kong, Gambang di sini pada Sabtu.

KUANTAN - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperuntukkan lebih RM1 juta untuk program musaadah bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melibatkan melibatkan lebih 200,000 penerima daripada pelbagai kaum di seluruh negara.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, sumbangan yang dihulurkan bermula penghujung tahun lalu hingga sekarang menggunakan dana daripada sumbangan orang ramai termasuk melalui Tabung Infaq Yadim yang dilancarkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukkan RM1 juta itu juga tidak termasuk perbelanjaan untuk program dakwah yang lain.

"Program bantuan yang menyeluruh melibatkan pelbagai kaum ini bertujuan membantu meringankan beban golongan terkesan dengan pandemik selain merapatkan Yadim dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Iklan

"Program ini juga menjadi antara usaha dakwah yang digerakkan Yadim bagi membawa mesej bahawa Islam agama yang bertoleransi dan sederhana bukan ekstrimis seperti tanggapan segelintir pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Yadim Peduli dan Program Kembali Ke Sekolah bersama masyarakat Tionghua di Tokong Sam Seng Kong, Gambang di sini pada Sabtu.

Iklan
Nasrudin menyampaikan bantuan kotak makanan kepada penerima dalam kalangan masyarakat Tionghua di Tokong Sam Seng Kong, Gambang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Yadim Pahang, Hazmi Dibok.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, program bersama masyarakat Tionghua itu julung kali diadakan di kawasan rumah ibadat bukan Islam di Pahang.

"Allhamdulillah, hari ini (Sabtu) seramai 50 penerima bantuan kotak makanan dan keperluan persekolahan diagihkan.

"Program seumpama ini akan diteruskan berdasarkan kepada keperluan dari masa ke masa," katanya.

Nasrudin berkata, penerimaan masyarakat bukan Islam kepada program yang dilaksanakan pihak Yadim dilihat sebagai perkembangan positif dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Nasrudin menyerahkan bantuan peralatan persekolahan kepada murid dalam kalangan kaum Tionghua sekitar Gambang pada Sabtu.

"Situasi ini juga membuktikan bahawa masyarakat di negara ini saling menghormati dan boleh hidup bersama walaupun berbeza bangsa serta agama.

"Jangan ada dalam pemikiran kita soal perkauman dan kebencian antara kaum sebaliknya semua pihak perlu saling hormat menghormati dan hidup dalam keadaan aman serta harmoni," katanya.

Sementara itu, Nasrudin berkata, Yadim juga telah menggerakkan 3,800 aktiviti sepanjang dua bulan pelaksanaan Bulan Dakwah yang dilancarkan di seluruh negara.

Menurutnya, aktiviti itu merangkumi aspek kebajikan dan aktiviti dakwah secara dekat dengan menyantuni pelbagai golongan sasar di segenap pelosok di seluruh negara.