KEPALA BATAS - Seri Waja dan Kembangsari dipilih sebagai nama varieti baharu padi yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Seri Waja atau varieti padi MR 315 dan Kembangsari mewakili varieti padi MRQ 104 yang dihasilkan merupakan salah satu strategi MARDI dalam menyediakan varieti padi berimpak tinggi.
Menurutnya, dua varieti ini dihasilkan selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih 10 tahun oleh pakar yang akan memberi manfaat kepada petani dalam meningkatkan pendapatan mereka selain membantu meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.
"MR 315 diperkenalkan untuk kepelbagaian genetik padi dan pada masa yang sama, memberi lebih pilihan kepada petani serta mengurangkan amalan penanaman varieti tunggal (monocrop) di jelapang.
"Ciri-ciri menarik varieti ini termasuklah ia mempunyai daun pengasuh tegak dan pendek serta dikategorikan sebagai matang awal iaitu sekitar 105-109 hari," katanya pada sidang media khas pengistyharan dua varieti baharu di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan & Inovasi Padi (COE rice@MARDI) MARDI Seberang Perai, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, varieti MR 315 itu juga rintang kepada penyakit karah tangkai serta sederhana rintang kepada penyakit karah daun serta hawar seludang.
Katanya, melalui ujian yang dijalankan, ia telah menghasilkan kadar pulangan yang tinggi iaitu sembilan tan/hektar seperti di Pantai Kamloon dan di IADA Pulau Pinang.
Sementara itu, katanya, bagi varieti padi MRQ 104 pula, ia dihasilkan bertujuan untuk membuka pasaran beras wangi tempatan yang lebih luas.
Katanya, ketika ini sebanyak 30 peratus daripada 200,000 tan beras yang diimport adalah beras wangi dan MRQ 104 mempunyai kadar matang antara 115 hingga 122 hari dan menunjukkan prestasi hasil sekitar 4-5 tan/hektar.
"Melalui kajian yang dihasilkan, MRQ 104 didapati rintang terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai. Ia juga sederhana rentan bagi penyakit dan perosak lain seperti hawar daun bakteria, hawar seludang, benah perang serta penyakit merah virus (PMV)," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ronald berkata, teknologi pertanian tepat yang dihasilkan MARDI juga turut membantu pengeluaran padi tempatan agar terus mencapai tahap yang lebih optimum.
Selain itu katanya, ia diyakini dapat menggalakkan operasi komersial berskala besar sama ada dalam bentuk sistem perladangan berkelompok atau aset.
"MARDI juga telah melancarkan ‘Teknologi Kadar Boleh Ubah Untuk Tanaman Padi’ (Variable Rate Technology-VRT) yang melibatkan sistem penaburan benih dan pembajaan.
"Teknologi yang dilancarkan ini akan menambah baik penapakan pokok, mengurangkan input baja sebanyak 15 hingga 25 peratus, mengurangkan penggunaan buruh sebanyak 50 peratus dan ianya mesra alam," katanya.