Dua lemas, seorang hilang di Pantai Sungai Ular

Iklan
Mayat mangsa yang lemas di Pantai Sungai Ular, Kuantan ditemui pada petang Sabtu.

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Tiga kanak-kanak termasuk pasangan adik beradik lemas ketika mandi di Pantai Sungai Ular di sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, bersama rakannya, Fitrah Dhia Zahraa' Zaidi, 9, ditemui lemas.

Iklan
Iklan

Seorang lagi, Mohd Fazrul Hakimi Ariffin,11, yang merupakan adik kepada Nor Najuwa dilaporkan masih hilang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seorang lagi mangsa, Fitrah Zulaikha Zaidi, 13, berjaya diselamatkan.

Iklan

Menurutnya, semua mangsa yang tinggal di Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular datang ke pantai itu untuk mandi bersama keluarga.

"Difahamkan, sejurus tiba kesemua mangsa terus berlari ke gigi air untuk mandi dan keluarga tidak sempat menghalang mereka.

Iklan

"Kejadian berlaku dengan pantas apabila keempat-mangsa lemas dibawa arus, bagaimanapun detik cemas itu segera disedari ahli keluarga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Mohamad Noor berkata, salah seorang mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk setempat.

"Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bersama polis, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk setempat.

"Hasil pencarian, dua mangsa berjaya ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang.

"Mayat kedua-dua mangsa ditemui kira-kira jam 6 petang tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan lemas," katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.

"Operasi SAR mencari seorang mangsa masih diteruskan," katanya.