KUALA KEDAH - Dua buah bot kelas A yang dipercayai melakukan aktiviti menangkap siput bersama enam awak-awak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Kuala Kedah, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan pada 10.30 malam pada jarak 0.5 batu nautika dari muara barat Pantai Kuala Sala.
"Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot tersebut melakukan kesalahan bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana tidak mengusahakan sendiri bot tersebut.
"Mereka juga didakwa kerana memiliki peralatan yang tidak dilesenkan iaitu tangguk tunda siput atau sangkar besi. Dua buah set sangkar besi yang dianggarkan bernilai RM6,000 turut dirampas," katanya.
Menurutnya, kedua-dua bot tersebut kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Mahmad Faizal berkata, Maritim Kuala Kedah sentiasa mengambil maklum terhadap aduan pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha bot siput.
"Dalam masa Kami juga mengharapkan maklumat dan kerjasama orang ramai dan komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara.
"Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.